Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 16 Disember ini bagi membincangkan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah, selepas menerima pemakluman rasmi berhubung dua kekosongan luar jangka tersebut.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, pihaknya menerima pemberitahuan mengenai kekosongan itu daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 8 Disember, manakala Speaker DUN Sabah, Datuk Seri M. Yahya, hari ini. 

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR,” menurutKhairul Shahril.

Susulan ketetapan Perlembagaan itu, mesyuarat khas berkenaan akan dipengerusikan oleh pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRK serta proses pelaksanaannya.

“Tarikh-tarikh penting PRK Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya lagi.

Selain aspek tarikh, persiapan awal termasuk logistik, keperluan petugas, pusat mengundi dan kelengkapan pilihan raya turut menjadi antara agenda utama untuk memastikan kelancaran PRK mengikut peraturan dan undang-undang.

SPR turut memaklumkan satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat khas selesai bagi mengumumkan keputusan serta garis masa pelaksanaan PRK untuk kedua-dua kerusi itu.

Kekosongan Kinabatangan dan Lamag dijangka mencuri tumpuan politik Sabah kerana kedua-dua kerusi tersebut merupakan kubu kukuh yang sebelum ini diwakili Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin selama beberapa penggal.

Allahyarham Bung Moktar, yang juga suami kepada pelakon Zizie Ezette, menghembuskan nafas terakhir pada 1.45 pagi, ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Allahyarham baru seminggu memenangi buat kali kedua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamang, Sabah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, pada 29 November. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast