KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat mengambil perhatian perbalahan yang berlaku antara dua pemimpin Muafakat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan pelakon, Rita Rudaini.
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, beliau akan memanggil kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan yang tidak sihat.
Menurutnya, pada peringkat awal beliau tidak mahu campur isu perbalahan tersebut.
“Namun atas rasa tanggungjawab saya akan panggil kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan tidak sihat; bahkan tauladan yang tidak baik buat pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kelmarin Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar dan timbalannya memfailkan saman terhadap Rita Rudaini selepa notis tuntutanRM1 juta tidak dipatuhi.
Mohd Roslan Mohd Nor selaku plaintif pertama dan Saidah Haris, plaintif kedua memfailkan saman itu selepas pelakon itu didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah yang dimuatnaik menerusi media sosial.
Plaintif pertama adalah pensyarah di Universiti Malaya dan kedua pula di Institut Pendidikan Guru di Perak. – MalaysiaGazette
















