KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur menafikan dakwaan dan tuduhan berunsur fitnah yang dibuat oleh penulis blog kontroversi, Papagomo.
Menerusi satu kenyataan, Saloma Kuala Lumpur menegaskan semua kenyataan yang dibuat tersebut adalah palsu, tidak berasas dan bermotif jahat.
“Saloma Kuala Lumpur beroperasi secara sah, mematuhi sepenuhnya undang-undang negara dan tidak pernah terlibat dalam apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan yang mengaitkan aktiviti pihak-pihak lain dengan Saloma Kuala Lumpur adalah tidak bertanggungjawab dan telah menjejaskan reputasi kami,” menurut kenyataan itu.
Justeru pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur telah mengarahkan peguam mereka untuk menangani perkara itu secara serius.
“Pihak kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan menfitnah dan atau merosakkan integriti Saloma Kuala Lumpur.
“Berdasarkan nasihat peguam, kami kini sedang mengambil semua langkah undang-undang yang perlu untuk melindungi kepentingan syarikat dan memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap penyebaran maklumat palsu ini dikenakan tindakan sewajarnya,” tambah pihak pengurusan itu lagi.
Pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur memaklumkan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris menerusi satu siaran langsung di media sosial baru-baru ini telah mengaitkan premis tersebut dengan beberapa aktiviti meragukan sekali gus memberi gambaran negatif terhadap syarikat dan operasinya.
Susulan daripada siaran tersebut, beberapa video pendek telah tular di platform media sosial termasuk Facebook dan TikTok sehingga menimbulkan salah faham serta menjejaskan imej Saloma Kuala Lumpur.
“Situasi ini telah menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan orang awam khususnya pelanggan setia yang selama ini menyokong perkembangan perniagaan Bumiputera tersebut.
“Saloma Kuala Lumpur menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang penilaian berdasarkan tuduhan tidak berasas dan menghargai sokongan daripada pelanggan serta rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan perniagaan bumiputera yang sedang berkembang pesat,” menurut kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette
















