KEBELAKANGAN ini isu penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam aktiviti akademik kembali hangat dibincangkan. Sewaktu mengendalikan kuliah bersama pelajar di UiTM Cawangan Perak, saya turut menyentuh isu tular mengenai pelajar yang menyiapkan tugasan dan tesis dengan bantuan aplikasi AI.
Perbincangan menjadi menarik apabila ada pelajar bertanya sama ada penggunaan aplikasi AI dibenarkan sepenuhnya. Lalu diperjelaskan bahawa penggunaannya bukanlah menjadi satu kesalahan. Malah sangat digalakkan jika ia digunakan dengan etika yang betul.
Syaratnya, pelajar perlu mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap tugasan yang dibuat. Jelas, etika dan integriti akademik tidak boleh dipandang ringan.
Dalam masyarakat hari ini, terdapat kelompok idealis yang melihat aplikasi AI sebagai ancaman kepada perkembangan kemahiran asas pelajar. Sebaliknya, kelompok realis pula melihatnya sebagai pemangkin kepada transformasi pendidikan.
Justeru, perlu difahami bahawa penggunaan aplikasi AI bukanlah bertujuan menggantikan manusia sepenuhnya. Bahkan, ia berfungsi sebagai pembantu yang memperkasa proses pembelajaran. Dengan syarat, penggunaannya mestilah berlandaskan etika dan integriti agar setiap individu kekal bertanggungjawab dan tidak bergantung sepenuhnya kepada AI.
Memperkasa Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah
Dunia akademik perlu melihat AI sebagai peluang untuk memperkukuh keupayaan pelajar berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah secara matang. Dua kemahiran ini menjadi tunjang kecemerlangan akademik dan profesional.
AI mampu menjana idea jawapan, tetapi ia tidak dapat menilai keseluruhan maksud sesuatu isu, memahami konteks atau menimbang implikasi moral dan sosial. Tugas ini tetap berpihak kepada manusia kerana ia memerlukan pertimbangan akal, pengalaman dan nilai.
Justeru pelajar yang menggunakan AI tanpa daya fikir kritis akan menjadi pengguna pasif yang hanya menerima jawapan tanpa mempersoalkannya. Walhal mereka sepatutnya menjadi peneroka ilmu yang aktif, menyoal, mencabar andaian dan membentuk paradigma baharu. Bukankah ini matlamat sebenar proses pembelajaran?
Pelajar perlu dibimbing untuk menyoal dan bukan hanya menjawab. Mereka perlu menganalisis maklumat dan bukan sekadar mengulang. AI boleh memberi contoh, analogi dan penjelasan tambahan. Namun AI tidak menjamin ketepatan maklumat secara mutlak. Justeru, pelajar mestilah bijak menilai sama ada jawapan yang diberikan selari dengan fakta, logik dan konteks. Di sinilah wujud latihan minda yang membina kematangan pemikiran melalui proses verifikasi maklumat.
Peranan ahli akademik juga turut berubah secara drastik. Mereka tidak lagi menjadi pusat maklumat kerana AI sudah mengisi ruang itu. Tugas mereka kini jauh lebih penting iaitu membimbing pelajar membina hujah.
Ahli akademik perlu membuka dan menggerakkan sesi perbincangan, mencetuskan soalan-soalan mencabar, menggalakkan analisis dari pelbagai sudut dan memberi peluang kepada pelajar menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Kini, tugasan berbentuk kajian kes, simulasi, projek kolaboratif dan penyelesaian isu kontemporari lebih sesuai dalam era AI. Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan pemikiran kritis, malah membantu pelajar membentuk keyakinan akademik. Mereka belajar bahawa setiap jawapan yang dihasilkan, sama ada menggunakan AI atau tidak, mesti melalui proses verifikasi dan penilaian yang ketat.
Pelajar juga perlu sedar bahawa kesilapan bukan sesuatu yang harus ditakuti, tetapi peluang untuk mengukuhkan pemahaman. Jelas, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah tidak lahir daripada jawapan segera, tetapi melalui proses berfikir secara kritis. Dengan ini, AI menjadi pelengkap aktiviti pembelajaran, bukan pengganti pemikiran.
Memperkukuh Integriti dan Etika Akademik
Penggunaan AI dalam dunia akademik moden telah membuka ruang besar inovasi. Ia turut mencabar etika dan integriti akademik semasa. Dalam keadaan tradisional, integriti dinilai melalui keaslian idea, kemampuan mengolah maklumat sendiri, dan rujukan yang sahih.
Namun, sempadan keaslian menjadi lebih kompleks kerana pelajar kini mempunyai akses kepada alat yang mampu menjana teks, menyusun hujah, malah membentuk analisis lengkap dalam beberapa saat. Justeru, tanpa garis panduan yang jelas, risiko penyalahgunaan seperti plagiat, pencetusan idea tanpa pemahaman, dan penyerahan tugasan yang tidak mencerminkan tahap kognitif semakin mengusarkan.
Sudah pasti, institusi pendidikan perlu mengambil langkah tegas dan teratur dengan membangunkan dasar yang telus mengenai penggunaan AI. Garis panduan ini perlu menyatakan apa yang dibenarkan, apa yang dilarang, serta bagaimana AI boleh digunakan secara beretika dalam tugasan akademik.
Langkah ini bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi membina ketelusan dan melatih pelajar untuk bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran mereka. Mematuhi etika akademik bukan hanya tentang mengelakkan penipuan, tetapi mencerminkan kematangan intelek pelajar. Integriti dalam era AI menuntut pelajar menggabungkan keupayaan teknologi dengan pemahaman sebenar mereka.
Ini bermakna setiap maklumat yang dijana dengan bantuan AI perlu dinilai, disemak silang, ditambah baik, dan dipadankan dengan kerangka ilmu yang sahih. Tanpa proses ini, tugasan mungkin tampak sempurna, namun tidak membawa nilai pembelajaran.
Ahli akademik juga memainkan peranan kritikal dalam mengawal dan membimbing penggunaan AI di bilik kuliah. Mereka perlu mengalihkan fokus penilaian daripada sekadar menilai hasil akhir tugasan kepada proses terperinci penghasilan tugasan berkenaan.
Pendekatan berasaskan proses ini memastikan pelajar tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi ini, sebaliknya membina kefahaman yang asli. Oleh itu, etika akademik di era AI bukan soal menolak teknologi, tetapi tentang usaha memperkukuh budaya amanah, ketelitian, dan rasa tanggungjawab.
Kemahiran Masa Hadapan dan Peranan AI
Justeru, kerangka Data, Information, Knowledge, Wisdom (DIKW) amat relevan dalam memahami keperluan akademik masa kini. Secara tradisional, pelajar mengumpul data, menukar data kepada maklumat, menghubungkan maklumat kepada pengetahuan dan akhirnya membentuk kebijaksanaan melalui pengalaman dan latihan berfikir. Proses ini memerlukan masa dan pertimbangan yang mendalam.
Namun di era AI, proses DIKW menjadi lebih cepat. AI mampu menukar data kepada maklumat, malah membina rangka pengetahuan secara segera.
Walaupun begitu, kebijaksanaan tidak boleh dijana oleh AI. Kebijaksanaan hanya lahir daripada keupayaan manusia menilai konteks, memahami implikasi dan membuat keputusan yang etikal. Maka, kerangka ini menuntut pelajar lebih kritikal, berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menilai maklumat yang dihasilkan janaan AI.
Jelas, menyekat penggunaan AI tidak akan membantu pelajar kalis cabaran teknologi masa hadapan. Pada akhirnya, sekirannya institusi pendidikan berjaya mengurus perubahan ini dengan cermat, graduan yang dilahirkan bukan sahaja berpengetahuan, tetapi beradab digital dan berintegriti. Tidak wajar terus menghukum penggunaan AI sebagai tidak beretika.
Sebaliknya, kaedah penilaian sistem pendidikan perlu bergerak secara dinamik seiring perubahan teknologi demi menjaga martabat akademik keseluruhannya.
Oleh,
Profesor Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak
-MalaysiaGazette
















