KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Erra Fazira meluahkan rasa terharu buat sahabat baiknya, Datin Seri Umie Aida yang menyampaikan ucapan serta doa sempena majlis pernikahannya hari ini.
Perkongsian itu dibuat Erra yang memuat naik semula ucapan dan foto Umie buat dia, sekali gus membuktikan segala sengketa yang dikatakan pernah wujud di antara mereka sudah berakhir.
Erra, 51, turut mengaminkan doa yang dititipkan Umie, 52, dan mengakui ucapan itu memberi makna mendalam buatnya.
“Doa yang begitu bermakna buatku. Doa yang sama ku titipkan buatmu jua. Terima kasih,” tulisnya ringkas.
Umie sebelum ini tampil mengucapkan tahniah atas pernikahan Erra yang selamat mendirikan rumah tangga dengan Ezwan Zain pada pagi tadi.
Menerusi satu hantaran ringkas di InstaStory, Umie memilih untuk mengenepikan segala sengketa apabila menitipkan doa penuh makna bersempena hari Jumaat yang disifatkannya sebagai hari penuh keberkatan.
Pada 2019, Umie membuat pendedahan dikhianati sahabat baik sendiri sehingga Erra mengakui telah melakukan kesilapan dan melukai sahabatnya itu buat kali ketiga serta memohon maaf.
Dalam satu pendedahan di media sosial, Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, berkata dia tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana individu namun beranggapan dirinya mempunyai hak untuk meluahkan rasa kecewa.
Biarpun Umie tidak menyebut nama namun rata-rata netizen di laman sosial membuat andaian luahan tersebut ditujukan kepada Erra yang pernah menjadi rakan baiknya sebelum ini. – MalaysiaGazette















