BUKIT MERTAJAM – Seorang pesara kerajaan terpaksa berputih mata selepas lebih RM500,000 wang simpanannya lesap dipercayai diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis.
Mangsa dilapor mula terperangkap selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya anggota polis ketika berada di rumahnya, di sini, pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, individu berkenaan mendakwa mewakili Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan memaklumkan bahawa mangsa kononnya terbabit dalam satu kes siasatan.
“Suspek turut mendakwa wujud satu akaun Public Bank di Kangar atas nama mangsa yang kononnya digunakan bagi aktiviti pengubahan wang haram.
“Panggilan itu kemudian disambung ke Balai Polis Kangar dan mangsa berhubung pula dengan seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis.
“Suspek mengulangi dakwaan bahawa akaun bank mangsa disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Helmi, mangsa yang panik kemudian mengikut arahan suspek dengan menyerahkan semua kad bank berserta nombor pin selepas diminta meletakkannya di sebuah perhentian bas berhampiran rumah.
“Suspek turut mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanannya ke satu akaun bank yang diberikan kononnya bagi proses siasatan.
“Dalam tempoh 3 September hingga 6 Disember lalu, mangsa telah membuat pindahan berjumlah RM537,058,” katanya.
Menurut beliau, mangsa hanya menyedari sesuatu tidak kena selepas membuat semakan pada 6 Disember dan mendapati wangnya telah dikeluarkan secara berperingkat antara 27 November hingga 5 Disember di beberapa bank sekitar Lembah Klang.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada 7 Disember lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette
















