SUBANG – Simbolik hantaran dalam sebuah talam yang diangkat dengan tandu menjadi keunikan pada pada majlis pernikahan pelakon terkenal, Erra Fazira, 51, dan Ezwan Zain, 44, di Rinjani Majestic, di sini, hari ini.
Tandu yang dibawa oleh empat lelaki itu mengandungi barangan antaranya cincin mewah, tas tangan, jam tangan dan minyak wangi.
Selain itu, primadona filem itu turut menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram sebagai mas kahwin yang dinamakan pokok ufti bunga emas sempena tradisi masyarakat Melayu abad ke-14.
Pada majlis berkonsepkan taman dan tema warna putih itu, Ezwan yang juga bapa tunggal seorang anak perempuan menyarungkan cincin jenama Cartier dianggarkan bernilai RM80,000 ke jari manis Erra.

Ezwan yang juga pemilik rangkaian Restoran Kueh itu berkata, dia membuat kejutan kepada Erra yang tidak mengetahui akan menerima mas kahwin dalam bentuk bunga yang mengandungi 24 keping dinar emas.
“Sebelum ini Erra hanya tahu tentang dinar emas itu tetapi bukan diberikan sebanyak 24 keping.
“Nombor 24 itu pula tiada simbolik apa-apa, sebaliknya sekadar ingin mencukupkan berat 100 gram,” katanya pada sidang media selepas majlis pernikahan berakhir.

Sementara itu Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek mengakui suaminya yang bertanggunjawab hampir sepenuhnya merancang majlis perkahwinan mereka berbanding perkahwinannya terdahulu.
“Kalau perkahwinan sebelum ini saya yang banyak uruskan,” katanya yang anggun memakai busana biru lembut rekaan Rizman Ruzaini dan ditatarias oleh jurusolek, Deqsha.
Mengenai berbulan madu, Erra memberitahu, mereka terpaksa menunda tarikh bulan madu sehingga selepas Aidilfitri nanti memandangkan dia akan terlibat dengan penggambaran dan konsert yang akan berlangsung Februari nanti.
Sementara itu, hubungan Erra dan Ezwan mula dihidu selepas aktres dan juga penyanyi itu memuat naik ucapan berbaur romantis kepada lelaki berkenaan pada Januari lalu.
Sebelum ini, Erra pernah berkahwin dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum bercerai pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, 16.
Erra juga berumah tangga dengan penyanyi kumpulan KRU Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun perkahwinan mereka berakhir pada 2006 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – MalaysiaGazette

















