Mohamad semasa kunjungan perasmian Rumah Sembelih Colla (RSC) di Kuala Selangor, semalam. Gambar: Facebook Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semalam merasmikan Rumah Sembelih Colla (RSC) di sini, sekali gus mengukuhkan lagi usaha memperkasa industri daging halal tempatan.

RSC yang dibangunkan sebagai sebuah fasiliti moden berfungsi meningkatkan kapasiti penyembelihan serta pemprosesan daging halal negara, dengan keupayaan mengendalikan antara 18 hingga 20 ekor lembu sejam.

“Keupayaan tersebut memacu kecekapan operasi dan mengukuhkan rantaian bekalan dari ladang terus kepada pengguna.

“RSC juga dilengkapi peralatan canggih termasuk cold room, blast freezer, sistem kebersihan bersepadu serta prosedur keselamatan makanan bertaraf industri.

“Dengan adanya RSC ini, kita bukan sahaja dapat memastikan bekalan daging tempatan lebih stabil dan berkualiti, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk sekitar Kuala Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Menurut Mohamad, kewujudan RSC turut memberi ruang kepada penternak dan usahawan daging mendapatkan khidmat penyembelihan serta penyimpanan yang lebih berkualiti, sekali gus memperluas akses kepada perkhidmatan bertaraf tinggi.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik usaha Colla memperkukuh portfolio daging premium melalui ternakan baka MyGyu yang mampu menghasilkan daging berkualiti setanding Wagyu import tetapi pada harga lebih berpatutan.

“Insya-Allah, pelancaran RSC ini membawa kita semakin hampir mencapai tahap sara diri daging tempatan yang lebih tinggi sambil memastikan keterjaminan makanan negara terus dipertingkat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast