Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Digital, Gobind Singh Deo menggesa Ketua Polis Negara (KPN) menjelaskan sebab kelewatan siasatan kes kematian S. Manisegaran yang didakwa meninggal dunia dalam tahanan polis di IPD Bandar Sunway pada Februari lalu.

Beliau berkata Peguam Negara telah mengarahkan polis pada 6 Disember lalu supaya siasatan diselesaikan tanpa kelewatan namun sehingga kini balu mangsa, S Rajeswari masih belum dimaklumkan mengenai perkembangan kes berkenaan.

“Ini tidak boleh diterima. Dalam kes kematian dalam tahanan, undang-undang mewajibkan satu siasatan dijalankan bagi menentukan punca kematian dan tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gobind, yang juga Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Damansara menegaskan siasatan itu sudah berlarutan selama sembilan bulan dan laporan polis perlu segera disiapkan serta dikemukakan kepada Peguam Negara seperti diarahkan.

Menurut beliau, kelewatan berpanjangan boleh menjejaskan keadilan serta memberi kesan terhadap saksi dan bukti dalam kes berkenaan.

Beliau turut menggesa reformasi terhadap prosedur sedia ada bagi memastikan garis masa jelas ditetapkan dalam siasatan kes kematian dalam tahanan.

“Jika berlaku kegagalan mematuhi arahan, tindakan mesti diambil terhadap pegawai terlibat bagi memastikan siasatan tidak terus tertangguh,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata KPN juga perlu memastikan keluarga mangsa sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan kes itu.

Selain itu, beliau memaklumkan akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Menteri Dalam Negeri (KDN) bagi menilai keperluan penambahbaikan prosedur siasatan supaya kes seumpama ini tidak berulang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast