KUALA LUMPUR – Malaysia menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya industri francais mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan antara lapan hingga 10 peratus, di samping giat mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
“Lebih banyak jenama Malaysia perlu meneroka pasaran global, dengan mewujudkan kehadiran sekurang-kurangnya di 25 negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Persatuan Francais Malaysia (MFA) di sini malam ini.
Beliau berkata, Malaysia merancang untuk memacu pengembangan ini melalui cadangan penubuhan ASEAN Franchise Gateway, satu inisiatif strategik yang bertujuan meletakkan negara sebagai landasan untuk pertumbuhan francais di seluruh Asia Tenggara.
Ahmad Zahid berkata, ASEAN, dengan gabungan penduduk melebihi 680 juta pengguna dan kelas pertengahan yang berkembang pesat, menawarkan peluang luas kepada jenama Malaysia yang ingin menembusi pasaran serantau dan global. – Bernama















