SHAH ALAM – Seorang pemandu treler yang videonya tular merempuh Plaza Tol Kemuning, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) minggu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.
Noor Azuan Abdul Rahman, 48, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan berat di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di lorong Plaza Tol Kemuning dari Klang ke Kuala Lumpur, Lebuhraya Kesas di sini pada pukul 9.11 malam, 10 Disember lalu.
Lelaki bujang itu dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kadar itu dikurangkan kerana dia perlu menjaga ibu bapa yang uzur termasuk anak saudaranya yang masih kecil.
“Mohon puan kurangkan jaminan, saya rayu kepada puan,” katanya yang hadir dengan ditemani kakak dan ibu yang menggunakan kerusi roda.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ameera Mastura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes ini selesai,” katanya. Kes itu akan disebut pada 12 Februari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang petugas tol bersama enam individu lain berdepan detik cemas apabila sebuah treler merempuh pondok tol dalam insiden di plaza tol tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan kecemasan diterima membabitkan rempuhan pondok tol dan dua kereta jenis Perodua Bezza serta Proton Wira. – MalaysiaGazette
















