SHAH ALAM – Polis sedang menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai profil seorang individu didakwa membuat ugutan bunuh terhadap seorang peguam di media sosial, 5 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya ada meminta bantuan itu untuk melengkapkan siasatan terhadap pengguna media sosial tersebut.
“Kita telah menjalankan siasatan dan telah mengambil keterangan peguam dan pembantu peguam terbabit. Kita juga memohon bantuan daripada MCMC untuk cuba mendapatkan profil individu yang memberi komen tersebut.
“Kita masih lagi menunggu maklum balas daripada MCMC,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Pada 6 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan yang dibuat seorang peguam yang mendakwa dirinya menerima ugutan bunuh di media sosial pada 5 Disember lalu.
Peguam tersebut mendakwa, ugutan itu diterima dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang diwakilinya melibatkan kes tembak tiga individu di Melaka pada 24 November lalu.
Ekoran laporan itu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette
















