PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Dr Mohammed Taufiq Johari melihat pembangunan belia amat penting untuk menyiapkan generasi masa depan negara yang lebih hebat.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, pada masa sama, golongan itu juga mampu mengangkat bidang sukan sebagai satu wadah perpaduan selain mampu membanggakan negara.
“Ini adalah hari pertama saya baru sahaja masuk ke sini dan
saya akan mendapat taklimat daripada KSU (Ketua Setiausaha) ketua-ketua Jabatan dan sebagainya.
“Selepas sahaja taklimat tersebut, saya akan menyatakan dengan lebih terperinci lagi gerak kerja yang ingin kita lakukan.
“Tetapi sudah pasti dengan kerjasama yang baik daripada semua persatuan yang di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan yang lebih penting bagaimana KBS ini boleh bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang lain.
“Ini bermakna rentas kementerian untuk kita pastikan pengukuhan dan agenda belia dan sukan khususnya dalam membentuk sebuah negara Malaysia Madani itu dapat dicapai,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan serta memuji gerak kerja mantan Menteri, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli Abdul Halim selama ini.
Semalam, Dr Mohammed Taufiq antara wajah baharu politik nasional mewakili generasi muda di Dewan Rakyat yang dilantik sebagai menteri penuh dengan menerajui KBS.

Pelantikan Dr Mohammed Taufiq itu diumumkan Anwar hari ini sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan Madani bagi mengisi beberapa jawatan yang dikosongkan.
Rombakan Kabinet ini adalah kali kedua di bawah pentadbiran Anwar selepas rombakan pertama dibuat pada 12 Disember 2023.
Kerajaan Madani dibentuk pada Disember 2022.
Dr Mohammed Taufiq, 29, ialah seorang ahli politik dan doktor perubatan yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani sejak November 2022.
Beliau dilahirkan pada 6 Mac 1996 di Kuala Lumpur dan merupakan anak keenam daripada lapan adik-beradik.
Bapa beliau ialah Tan Sri Johari Abdul, bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dari 2008 hingga 2022 dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan (MD) dari Universiti Islam Bandung, Indonesia, Dr Mohammed Taufiq pernah berkhidmat dalam latihan perubatan di beberapa hospital di negara itu sebelum melibatkan diri sepenuhnya dalam dunia politik.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau berjaya memperoleh 50,580 undi menewaskan pesaing terdekat dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Robert Ling Kui Ee yang mendapat 49,465 undi.
Dr Mohammed Taufiq adalah Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua Cabang Sungai Petani dalam PKR, sebuah parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette
















