Aliran trafik menghala ke Lebuhraya Karak serta ke ibu kota dilihat mulai sesak susulan orang ramai mula pulang dan ada juga yang menuju ke destinasi negeri masing-masing selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 12 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025, bersempena sambutan Hari Krismas yang akan diraikan pada 25 Disember ini.

Diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata,  pemberian diskaun itu selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani dan bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat, khususnya pengguna kenderaan persendirian yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.

Menurutnya, kerajaan turut menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat susulan pelaksanaan diskaun tol berkenaan.

Dalam masa sama, pemilihan tarikh 23 dan 24 Disember merupakan sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah, terutama pada waktu puncak perjalanan balik ke kampung dan kembali ke bandar, selain mengoptimumkan pengoperasian kawasan hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA).

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar.

“Di samping itu, pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya,” kata Nanta Linggi lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast