KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ihsanku Malaysia (Ihsanku) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan melaksanakan Program Iftar Seribu Anak Yatim Nusantara bersama Gaza sebagai inisiatif kemanusiaan yang menghimpunkan anak yatim dari seluruh rantau ini.
Program berkenaan dijadualkan berlangsung pada 28 Februari 2026 bersamaan 10 Ramadan 1447 Hijrah itu akan diadakan secara serentak di lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif Ihsanku, Muhammad Syariffuddin Supeni berkata, penganjuran program itu mencerminkan solidariti serta kepedulian bersama masyarakat Nusantara terhadap nasib anak-anak yatim, khususnya di Gaza.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada aspek kebajikan selain mengetengahkan isu kemanusiaan yang dihadapi anak yatim di Gaza, di samping memperkukuh hubungan serantau melalui pendekatan kebersamaan dan keprihatinan.
Program itu turut bertujuan mengangkat isu kebajikan anak yatim ke perhatian masyarakat dengan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan sokongan jangka panjang terhadap golongan berkenaan.
“Ia juga mewujudkan semangat kebersamaan negara-negara Nusantara dalam menangani cabaran berkaitan kebajikan anak yatim serta isu kemanusiaan lain yang memerlukan kerjasama serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Syariffuddin berkata, program itu bukan sekadar majlis berbuka puasa sebaliknya melambangkan empati, kasih sayang dan kesatuan hati anak-anak yatim di Nusantara terhadap anak yatim di Gaza yang sedang berdepan kesengsaraan.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan kerjasama kemanusiaan di peringkat serantau pada masa hadapan. – MalaysiaGazette















