MUAR – Seorang lelaki melecur bahagian badan selepas tong gas meletup dipercayai sedang memasak dalam kejadian di Taman Pagoh Jaya di sini malam tadi.
Kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam mengakibatkan cermin tingkap dan siling rumah pecah selain mencetuskan kebakaran.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Jaya, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfattah Omar berkata, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan penduduk yang datang membantu.
“Kebakaran mengakibatkan mangsa iaitu seorang lelaki dewasa melecur 30 peratus bahagian badan. Kebakaran tersebut telah dipadamkan orang awam sebelum pihak bomba tiba.
“Mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 8.54 malam sebelum tiba kira-kira lapan minit kemudian pada jarak sembilan kilometer.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian dan operasi tamat pukul 9.35 malam.- MalaysiaGazette
















