KUALA LUMPUR – Ditulis dan diarahkan oleh pengarah muda Hong Kong yang sedang meningkat naik, Njo Kui Ying, filem aksi Road To Vendetta telah ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 11 Disember lalu.
Memakan masa selama tujuh tahun, filem ini mendapat perhatian serantau kerana kerjasama unik Hong Kong–Jepun serta pelakon utamanya Jeffrey Ngai yang sering menjadi topik hangat kerana dikatakan mirip bintang Hong Kong awal 2000-an, Edison Chan.
Bagi menyokong pelancaran filem tersebut, Jeffrey Ngai akan berada di Kuala Lumpur pada hari tayangan perdana untuk menghadiri acara pelancaran sekali gus memulakan siri jelajah promosi.

Beliau menyertai pelbagai aktiviti berinteraksi bersama peminat termasuk penampilan khas di pawagam terpilih serta sesi tayangan tertentu.
Menandakan peranan utama pertama Jeffrey di layar perak, Road To Vendetta menerima lima pencalonan di Golden Horse Awards ke-62, termasuk Reka Bentuk Aksi Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik — pengiktirafan terhadap kualiti pembikinan, koreografi aksi serta mutu produksi filem itu.
Jeffery bergandingan dengan pelakon muda Jepun terkenal, Sara Minami yang dikenali menerusi lakonannya dalam Nevertheless: The Shape of Love dan From Me to You: Kimi ni Todoke.
Jeffery sendiri pernah membintangi filem ensemble besar seperti Cesium Fallout bersama Andy Lau dan Little Red Sweet bersama Simon Yam, menjadikan beliau salah seorang bakat baharu paling menyerlah dalam industri.
Road to Vendetta menampilkan visual yang bergaya dan beratmosfera dengan ketegangan psikologi yang mendalam, mengisahkan seorang pembunuh upahan profesional yang terperangkap dengan seorang wanita misteri yang dibelenggu dendam.
Selain babak aksi penuh letupan, filem ini mengetengahkan persoalan mampukah nilai kemanusiaan bertahan di sudut paling gelap dalam dunia pembunuh upahan.
Untuk mengekalkan identiti Hong Kong, produksi secara kreatif menggunakan slip pesanan restoran gaya Hong Kong sebagai sistem kod untuk mengupah pembunuh serta mengadakan babak pertarungan besar di atas tram ikonik Hong Kong, memberikan sentuhan lokal yang unik.
Rekaan aksi dipimpin oleh pengarah aksi Jepun terkenal, Koichi Sakamoto (Kamen Rider), yang menghasilkan koreografi pantas dan tajam yang digabungkan sempurna dengan gaya aksi klasik Hong Kong.
Barisan pelakon turut disertai aktor Hong Kong Chu Pak Him (Crisis Negotiators) dan Rosa Maria Velasco (Time Still Turns the Pages, The Last Dance). – MalaysiaGazette
















