PUTRAJAYA – Agenda Madani tidak wajar difahami sekadar sebagai slogan pentadbiran atau naratif politik semasa, sebaliknya ia merupakan satu kerangka besar pembinaan negara yang meletakkan nilai sebagai infrastruktur utama dalam pelaksanaan kuasa dan pembangunan negara.
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, pembangunan tanpa nilai akan melahirkan ketidaksamarataan, manakala kebebasan tanpa akhlak membawa kepada kekacauan serta kuasa tanpa ihsan akan mencetuskan penindasan.
“Agenda Madani menuntut kemajuan yang adil, pengurusan kepelbagaian secara harmoni serta kepimpinan yang berintegriti dan bertanggungjawab.
“Ringkasnya, Madani bukan tentang siapa yang berkuasa, tetapi bagaimana kuasa itu digunakan untuk memakmurkan manusia dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Nahdah Ulama Nahdah Jadidah (NUNJI) 2025 “Politik Rahmah: Mengukuh Agenda Madani” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Akademi NUNJI, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof.
Syed Kamarulzaman menjelaskan, dalam tradisi Islam, matlamat tertinggi sesebuah negara bukan sekadar kemakmuran material, tetapi pembentukan Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur iaitu sebuah negara yang baik, sejahtera, adil serta mendapat keampunan dan keberkatan Ilahi.
Katanya, negara yang baik tidak hanya diukur melalui angka ekonomi, tetapi melalui keadilan sosial, keutuhan akhlak, kesejahteraan institusi keluarga serta ketenangan jiwa rakyat.
“Justeru, politik rahmah dan agenda Madani merupakan wasilah penting ke arah membina negara yang makmur tanpa menindas, berkuasa tanpa angkuh dan maju tanpa meninggalkan nilai kemanusiaan serta ketuhanan,” ujarnya.
Mengulas penganjuran konvensyen berkaitan, Syed Kamarulzaman berkata, ia amat signifikan kerana menghimpunkan ulama, ilmuwan, pemimpin masyarakat serta masyarakat madani yang berperanan sebagai penjaga kompas moral negara.
“Ulama memberi arah nilai dan panduan akhlak, intelektual membina kerangka pemikiran berasaskan ilmu, manakala masyarakat madani memastikan kuasa sentiasa dipertanggungjawabkan. Politik yang sihat mesti kembali kepada ilmu, hujah dan hikmah, bukan maki hamun, hasutan atau kebencian,” katanya.

Dalam konteks pembinaan Negara Madani, beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan wanita tidak wajar dilihat sekadar sebagai pelengkap simbolik, sebaliknya sebagai rakan strategik yang penting dan berwibawa.
Menurutnya, sejarah dan realiti semasa membuktikan wanita memainkan peranan besar dalam membina keluarga sejahtera, masyarakat berempati serta kepimpinan yang lebih inklusif dan seimbang.
“Kepimpinan wanita yang berilmu, berintegriti dan berprinsip mampu membawa pendekatan Rahmah yang tegas pada prinsip, namun lunak dalam pendekatan, kritikal dalam pemikiran tetapi beradab dalam perbezaan,” katanya.
Tambah beliau, usaha mengangkat kepimpinan wanita bukan untuk melemahkan struktur sedia ada, sebaliknya, memperkukuh negara melalui kepelbagaian kekuatan dan kebijaksanaan demi masa depan Malaysia yang lebih adil, beretika dan berperikemanusiaan. – MalaysiaGazette
















