ACEH – Seorang penduduk Desa Geudumbak di Aceh Utara dekat sini bingung dan tidak tahu bagaimana mahu meneruskan hidup selepas banjir besar melanda yang menghanyutkan rumahnya pada 26 November lalu.
Julkifli Ali Bahsyiah yang berusia 62 tahun berkata, hatinya luluh selepas tiga hari banjir surut dan pulang ke rumah mendapati tiada apa yang selamat dan rumahnya sudah tidak ada lagi.
“Apa yang ada hanya simen dan tapak rumah. Kereta, tanaman dan haiwan peliharaan juga hanyut dibawa arus. Tiada apa-apa yang tinggal lagi. Saya, isteri dan dua anak tinggal sehelai sepinggang.
“Saya kini buntu tidak tahu bagaimana mahu membina dan memulakan kehidupan baharu. Bukan saya sahaja berdepan situasi ini, jiran-jiran juga begitu yang rumahnya dihanyutkan banjir,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau desa tersebut, semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan pelbagai bentuk bantuan.
Misi tersebut dianjurkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasaraya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Bercerita lanjut, Julkifli berkata, apa yang mereka fikiran ketika ini adalah bagaimana untuk terus bertahan dalam keadaan sukar selepas banjir namun bersyukur kerana selamat dalam tragedi banjir besar itu.
“Saya ketika ini hanya fikir untuk keperluan waktu pagi, sebelah malam pula cerita lain, waktu malam fikir untuk malam pula. Tiada perancangan setakat ini,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai pemandu sebelum ini sudah tidak lagi mempunyai pekerjaan selepas banjir besar melanda.
Menurut Julkifli, keluarganya kini menumpang di beberapa rumah saudara di kampung berdekatan untuk sementara waktu sebelum memikirkan sebarang perancangan masa depan.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.– MalaysiaGazette
















