KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan mengecam keras kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh susulan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan isu Titah Addendum sambil menegaskan ia berpotensi mengelirukan rakyat selain menjejaskan persepsi terhadap institusi kehakiman dan serta kerajaan.
Ketuanya, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, keputusan mahkamah hari ini merupakan hasil proses perundangan yang sah selepas hakim meneliti hujah kedua-dua pihak, dan sama sekali bukan keputusan bermotifkan politik atau campur tangan eksekutif.
“Adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan ini dengan dakwaan kerajaan yang dibentuk atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak menolak atau menafikan Titah Addendum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Asheeq, sikap Akmal yang dilihat menerima dengan terbuka keputusan mahkamah dalam kes melibatkan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, termasuk pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor.
Namun katanya, timbul persoalan apabila beliau kini mempertikaikan institusi kehakiman hanya kerana keputusan tidak memihak kepada Datuk Seri Najib Razak.
“AMK Wilayah Persekutuan menegaskan perbezaan pandangan terhadap keputusan mahkamah adalah lumrah dalam negara demokrasi, namun ia mesti disuarakan secara berhemah, berfakta dan berpaksikan kefahaman undang-undang,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan kononnya kuasa Raja-Raja Melayu semakin terhakis di bawah Kerajaan Madani.
Sebaliknya menegaskan keputusan hari ini memperlihatkan prinsip Raja Berperlembagaan yang terus dihormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu kekal terpelihara. Apa yang dizahirkan ialah sistem keadilan yang bebas dan berfungsi, bukannya penghakisan mana-mana institusi,” ujarnya.
Asheeq turut mengingatkan Najib masih mempunyai ruang perundangan untuk meneruskan rayuan di peringkat seterusnya, justeru sebarang kesimpulan awal atau tuduhan bersifat spekulatif hanya akan mengeruhkan keadaan.
Dalam pada itu, AMK Wilayah Persekutuan menggesa semua pihak mengamalkan kematangan dan kewarasan politik dengan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, demi memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
“Semua pimpinan politik, termasuk dalam Kerajaan Madani, wajar menunjukkan adab dan tertib dalam memberi respons terhadap keputusan mahkamah agar tidak menjejaskan keharmonian politik dan kestabilan negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette

















Bullshit dan biadab. Mcm lah ko boleh buat kerajaan tanpa UMNO.. esok UMNO tarik balik sokongan kepada kerajaan, baru ko tau