Tangkap layar menunjukkan dua buah kenderaan sebuah agensi kerajaan membuka lampu khas mereka ketika melalui sebuah lebuhraya baru-baru ini. - Gambar ihsan pertubuhan damai revolusi masyarakat.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memantau dan mengambil tindakan terhadap kes eskot haram, termasuk yang melibatkan agensi kerajaan tanpa kebenaran rasmi.

Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, gesaan itu dibuat susulan pihaknya menerima aduan mengenai eskot haram yang semakin berleluasa, selain beberapa agensi kerajaan yang dilihat menggunakan eskot atau lampu khas mereka untuk membuka laluan.

“Semua pihak sedia maklum bahawa kuasa eskot hanya sah jika dijalankan mengikut undang-undang dan arahan rasmi.

“Bagi beberapa agensi penguat kuasa, kuasa ini dibenarkan melalui arahan Ketua Pengarah, bantuan antara agensi penguat kuasa, atau arahan khas kerajaan manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula berasaskan Kanun Prosedur Jenayah, Akta Polis 1967, perintah mahkamah, undang-undang khas serta SOP dalaman PDRM.

“Bagaimanapun, berdasarkan aduan diterima, terdapat beberapa situasi di mana agensi kerajaan menggunakan lampu khas untuk membuka laluan dan ia menimbulkan keperluan untuk semua pihak mematuhi prosedur yang ditetapkan, demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Francis Xavier, gesaan itu bertujuan untuk menjamin keselamatan dan integriti perkhidmatan awam selain memastikan eskot pegawai dijalankan mengikut peraturan yang jelas.

“Kita berharap semua agensi kerajaan memastikan setiap eskot pegawai dilakukan mengikut garis panduan rasmi dan hanya bagi tugasan sah.

“Justeru, JSPT perlu memantau setiap kes eskot haram dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk bagi situasi yang melibatkan agensi kerajaan.

“Tindakan ini bukan untuk menuding jari tetapi bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan semua pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan secara adil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast