Muhammad Nazmi.

GEORGE TOWN – Bekas Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman menyifatkan kenyataan Yeo Bee Yin yang dimuat naik di Facebooknya sebagai biadap selain menjadikan keputusan mahkamah sebagai medan sorakan politik.

Menurut beliau, kenyataan berkenaan bukan sahaja mengguris perasaan banyak pihak, malah mencerminkan sikap tidak berempati.

“Meraikan penderitaan individu yang sedang melalui ujian bukanlah cerminan kematangan, apatah lagi apabila melibatkan keluarga dan pihak yang masih mengharapkan keadilan dilaksanakan secara berperikemanusiaan.

“Jika tidak mampu menzahirkan simpati, memadai untuk berdiam diri.

“Perbezaan pendirian politik tidak pernah menjadi lesen untuk bersikap angkuh, apatah lagi mempermainkan emosi masyarakat demi kepuasan politik sempit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Nazmi, dalam suasana rakyat mengharapkan ketenangan dan kematangan politik, kenyataan sedemikian hanya menyemarakkan perpecahan dan mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti awam.

“Keputusan mahkamah wajar dihormati, bukan diraikan dengan ejekan yang menampakkan kekeringan nilai dan ketidakmatangan kepimpinan.

“Malaysia memerlukan pemimpin yang beradab dan berprinsip, bukannya mereka yang bersorak atas kejatuhan orang lain.

“Negara kita tidak memerlukan pemimpin yang bersorak di atas kejatuhan orang lain. Malaysia memerlukan pemimpin yang berprinsip, beradab dan tahu batas dalam berbicara serta bertindak,” katanya.

Semalam, Bee Yin memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum untuk membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast