JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri perlu memberi penyelesaian sekurang-kurangnya satu mekanisme sambungan pajakan secara automatik dan mempermudah urusan dalam isu status Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kampung Melayu Majidee.
Ahli Majlis Pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Ahmade Mohd Din berkata, langkah tersebut wajar tanpa birokrasi membebankan serta kos yang tinggi agar penduduk asal tidak terpinggir di tanah sendiri.
“Tuntutan utama penduduk adalah agar status TRM pajakan 99 tahun yang hampir luput diberikan jaminan kelangsungan demi mempertahankan hak, warisan dan kelangsungan komuniti Melayu yang telah menetap di kawasan ini sejak tahun 1949.
“Pejuang Johor memahami kekangan kerajaan negeri dalam meluluskan hak milik kekal sepenuhnya khususnya berkaitan keseragaman dasar tanah bandar dan keperluan pembangunan jangka panjang.
“Namun demikian, Pejuang berpandangan sekurang-kurangnya satu mekanisme seperti yang disebutkan adalah diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, isu itu bukan semata-mata berkaitan peruntukan undang-undang tanah tetapi melibatkan soal maruah, kesinambungan warisan dan kelangsungan sebuah komuniti Melayu bandar yang semakin terhimpit.
Kebimbangan penduduk semakin memuncak apabila timbul khabar bahawa kawasan Kampung Melayu Majidee bakal dibangunkan sebagai bandar baharu dengan gedung perniagaan dan apartmen mewah disertai janji hanya 40 peratus unit untuk Bumiputera.
“Janji sedemikian tidak menjamin kelangsungan komuniti asal malah menimbulkan kegusaran khususnya dalam kalangan lebih 500 ahli Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) yang majoritinya warga emas,” ujarnya.
Jelasnya, Kampung Melayu Majidee bersama-sama gugusan kampung sekitarnya seperti Kampung Majidi Baru, Kampung Kurnia dan Larkin Dato’ Onn merupakan kubu Melayu terakhir di kawasan Parlimen Johor Bahru.
Sekiranya kawasan itu terkorban akibat pembangunan yang tidak berpihak kepada penduduk asal, beliau berkata, komposisi demografi Melayu di selatan Johor berisiko terhakis sepenuhnya sebagaimana yang telah berlaku di beberapa kawasan lain sebelum ini.
“Pejuang Johor menegaskan pendirian ini bukan bertujuan membangkitkan sentimen perkauman sebaliknya sebagai peringatan awal agar suara rakyat tidak diabaikan.
“Kegagalan menangani isu sambungan pajakan dengan adil dan berperikemanusiaan berpotensi mewujudkan ketidakpuasan hati generasi akan datang yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara,” katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menyeru kerajaan Johor supaya melaksanakan sambungan pajakan tanah secara automatik kepada pemilik asal dengan proses yang mudah dan kos berpatutan.
Ia termasuk menyediakan pelan pembangunan yang benar-benar inklusif dan mampan serta memastikan kelangsungan komuniti Melayu di Johor Bahru sebagai sebahagian daripada agenda pembinaan negara bangsa.ntara atau terpilih kepada golongan tertentu sahaja,” katanya.
Pada 20 April lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Tempoh pajakan TRM Kampung Melayu Majidee dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.
Perkam sebelum ini telah menghantar petisyen serta permohonan rasmi kepada Menteri Besar Johor pada 8 September tahun lalu bagi menukar status tanah kampung itu kepada TRM hak milik kekal.
Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.- MalaysiaGazette
















