Polis membongkar makmal proses syabu dalam kebun durian di Teluk Bahang, Pulau Pinang dengan nilai rampasan berjumlah hampir RM38 juta.

BALIK PULAU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket dadah antarabangsa selepas membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis syabu yang beroperasi dalam kebun durian di Teluk Bahang di sini dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM38 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan JSJN yang membawa kepada beberapa siri serbuan serentak pada Sabtu dan Ahad lalu sekitar negeri ini.

Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis perniagaan di Jalan Gurdwara, Georgetown yang membawa kepada tangkapan tiga lelaki warganegara asing yang dipercayai bertindak sebagai ahli kimia memproses dadah berusia antara 32 hingga 38 tahun.

Hussein bercakap pada sidang media di lokasi serbuan.

Jelas beliau, manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai sebagai koordinator sindiket maut selepas terjatuh dari tingkat lima ketika cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis merampas serbuk putih disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 26 kilogram serta pelbagai peralatan pembungkusan dadah.

“Susulan itu, kita melakukan serbuan kedua di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill di Jalan Gurdwara yang digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula, dengan rampasan serbuk disyaki methamphetamine seberat 474 kilogram.

“Serbuan ketiga pula, membawa kepada penemuan sebuah makmal haram di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan kebun durian di Teluk Bahang di sini, yang disewa sindiket sejak September lalu dengan harga RM80,000 setahun, melibatkan keluasan kira-kira 32 hektar,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Kebun durian itu disewa dengan harga RM80,000 setahun.

Tambah Hussein, di kebun durian itu, polis merampas serbuk putih disyaki methamphetamine seberat 60 kilogram, ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 54 kilogram, cecair disyaki methamphetamine seberat 574 kilogram serta pelbagai peralatan memproses dadah yang dibawa masuk dari luar negara.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan daripada ketiga-tiga serbuan itu kira-kira 1.2 tan syabu yang dianggarkan mampu merosakkan hampir enam juta penagih.

Selain dadah, Hussien memaklumkan pihaknya  turut menyita aset bernilai RM181,000 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger, sebuah Toyota Vios, sebuah forklift Toyota dan sebuah kenderaan ATV, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM38 juta.

“Siasatan kita juga mendapati sindiket berkenaan diketuai individu dari luar negara yang menggunakan Malaysia sebagai hab memproses dadah, sebelum bekalan dihantar ke pasaran antarabangsa dan tempatan.

Hussein menunjukkan dadah jenis syabu yang dijadikan dalam bentuk helaian fabrik untuk pasaran antarabangsa.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk bahan prekursor (bahan kimia asas/pemula) dan peralatan dari luar negara, kemudian melantik seorang koordinator tempatan untuk mencari lokasi seperti kebun durian, sebelum menghantar ahli kimia dari luar negara bagi menjalankan proses pengeluaran dadah.

“Setakat ini kita mengesan sekurang-kurangnya tujuh penghantaran dadah telah dibuat ke Australia dan Hong Kong menggunakan perkhidmatan kurier antarabangsa dengan setiap penghantaran dianggarkan seberat dua kilogram,” katanya.

Mengulas lanjut Hussein berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek warga asing positif methamphetamine, selain dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah di negara asal termasuk seorang pernah dipenjarakan selama tujuh tahun.

Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari luar negara.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast