KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P Ramasamy tampil mempersoalkan perbezaan layanan pengampunan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sambil mendakwa UMNO hanya bertindak separuh hati dalam isu berkenaan.
Ramasamy berkata Anwar menerima pengampunan diraja penuh pada Mei 2018 walaupun ketika itu wujud dakwaan Lembaga Pengampunan tidak dibentuk dengan sewajarnya, termasuk ketiadaan wakil Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, walaupun terdapat persoalan mengenai sifat dan fungsi Lembaga Pengampunan ketika itu, Anwar tetap diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu.
“Pengampunan diraja inilah yang membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya umum 2022 sebelum akhirnya menjadi Perdana Menteri hari ini,” katanya dalam kenyataan hari.
Bagaimanapun, Ramasamy mantan pemimpin DAP menegaskan pengampunan tersebut tidak memadamkan hakikat sabitan dan pemenjaraan Anwar sebelum itu.
Mengulas kes Najib, beliau berkata apa yang dipohon bukanlah pengampunan diraja penuh, sebaliknya tahanan rumah berdasarkan suatu adendum diraja yang didakwa wujud di luar proses Lembaga Pengampunan.
“Adendum diraja itu tidak dibawa melalui proses pembuatan keputusan dalam Lembaga Pengampunan. Atas sebab itu, semakan kehakiman Najib ditolak kerana ia tidak mempunyai asas perlembagaan,” ujarnya.
Ramasamy berkata persoalan utama adalah mengapa Najib tidak diberikan peluang untuk memohon pengampunan penuh, sebaliknya hanya pilihan tahanan rumah.
Walhal Anwar menerima pengampunan penuh walaupun terdapat isu perlembagaan berkaitan Lembaga Pengampunan.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik UMNO yang menurutnya mempunyai ruang dan keupayaan untuk mengusahakan pengampunan penuh bagi Najib, memandangkan presidennya merupakan Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai hubungan rapat dengan Anwar.
“Hubungan ini sepatutnya memberi ruang kepada UMNO untuk mengusahakan pengampunan penuh, bukannya sekadar pengampunan separa dalam bentuk tahanan rumah.
“Hari ini tidak seharusnya pemimpin UMNO meratap dan berkabung atas penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan tahanan rumah Najib sebaliknya perlu pikul tanggungjawab kerana gagal mengusahakan pengampunan tersebut,” tegasnya.
Beliau juga berpandangan andai timbul persoalan siapa yang layak menerima pengampunan penuh, Najib sebagai bekas perdana menteri wajar diberikan pertimbangan sedemikian tanpa menafikan kelayakan Anwar.
“Apa yang dipersoalkan ialah sama ada Lembaga Pengampunan itu dibentuk secara sah dan berperlembagaan. Hakikatnya tindakan peguam Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi adalah langkah yang wajar dan logik untuk diteruskan,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau mengemukakan soalan secara terbuka kepada Anwar mengenai pendiriannya terhadap pemberian pengampunan penuh kepada Najib.
“Jika Anwar layak menerimanya, pastinya Najib juga layak menerima pengampunan diraja penuh.
“UMNO juga pada masa ini abaikan tindakan provokatif terutamanya dalam kalangan DAP dan fokus usaha lebih bersungguh-sungguh. Langkah memohon tahanan ini seperti hanya separuh hati,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















