Ab Rahaman melakukan pemantauan dalam sekatan jalan raya sempena Operasi Ambang/Operasi Rempit di Iskandar Puteri, malam tadi

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 4,433 saman trafik dikeluarkan polis dalam Op Krismas dan Op Ambang Tahun Baru di seluruh Johor yang bermula kelmarin hingga 12.30 tengah hari malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dua operasi itu dilakukan serentak akan diteruskan sehingga 1 Januari ini membabitkan 1,681 pegawai dan anggota di seluruh negeri yang ditugaskan secara bergilir setiap hari.

“Penugasan dalam kedua-dua operasi itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Pengurusan serta semua jabatan dan cawangan lain di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saman yang dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan, tiada nombor pendaftaran, nombor pendaftaran diubah suai, tiada lesen memandu dan tiada perlindungan insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Op Krismas dan Op Ambang Tahun Baru di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini malam tadi.

Katanya, fokus utama operasi itu adalah pencegahan kemalangan, jenayah jalanan serta mengekalkan ketenteraman awam susulan aliran trafik yang tinggi berikutan cuti hujung minggu, sambutan Krismas, cuti sekolah serta kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain itu, Ab Rahaman berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan 14 notis atas kesalahan pelepasan gas dan bunyi bising, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 32 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan dan isu nombor pendaftaran.

Beliau menambah, pihaknya akan melaksanakan Ops Lancar bermula hari ini hingga 1 Januari ini dengan memberi tumpuan di lokasi-lokasi utama yang merekodkan pergerakan keluar masuk kenderaan yang tinggi.

“Data PLUS menunjukkan purata 22,000 hingga 24,000 kenderaan keluar masuk Johor setiap hari melalui Plaza Tol Senai Utara dan Lima Kedai sejak 19 Disember lalu, dengan 47 lokasi ‘hotspot’ dikenal pasti termasuk lebuh raya, pusat bandar serta pintu masuk utama seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

“Operasi ini adalah usaha memastikan Johor tidak mengalami kesesakan trafik yang teruk sepanjang tempoh perayaan hujung tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk mendaftar maklumat balik kampung sempena musim cuti bagi memastikan keselamatan harta benda serta mengekalkan ketenteraman awam.

“Bagaimanapun, data menunjukkan jumlah pendaftaran melalui aplikasi itu masih rendah, dengan hanya 232 pendaftaran diterima setakat semalam berbanding jumlah sebenar penduduk yang meninggalkan rumah,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast