KUALA LUMPUR – Malaysia mengalu-alukan gencatan senjata yang dipersetujui antara Kemboja dan Thailand yang mula berkuat kuasa pada jam 12 tengah hari (UTC+7).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan langkah itu sebagai penting demi melindungi keselamatan orang awam dan memulihkan kestabilan serantau.
“Keputusan untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing mencerminkan pengiktirafan bersama bahawa sikap menahan diri amat diperlukan, khususnya demi kepentingan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta yang berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan susulan rundingan peringkat tinggi antara kedua-dua pihak.
Persetujuan itu dimeterai menerusi pemeteraian Kenyataan Bersama Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ketiga yang ditandatangani oleh menteri pertahanan kedua-dua negara pada pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan, kenyataan Bersama yang dimeterai turut menggariskan beberapa langkah praktikal dan positif, termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta penubuhan saluran komunikasi langsung antara pihak berkuasa pertahanan kedua-dua negara.
Langkah-langkah tersebut dilihat sebagai asas penting ke arah kestabilan yang berterusan, dan Malaysia berharap kedua-dua pihak akan melaksanakan semua komitmen yang dipersetujui secara berterusan dan dengan penuh tanggungjawab.
Sehubungan itu, Malaysia menegaskan sokongan penuhnya terhadap segala usaha bagi memastikan persetujuan tersebut dipatuhi, khususnya ketika Malaysia bakal menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina pada tengah malam 1 Januari 2026. – MalaysiaGazette
















