KUALA LUMPUR – Seramai 12 lelaki dan seorang wanita Vietnam ditahan susulan kejadian merusuh menggunakan senjata di sebuah restoran di Taman Mount Austin, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan rakannya diserang menggunakan kerusi besi dan pisau pemotong daging oleh kumpulan lelaki itu kerana wujud perselisihan faham antara dua orang suspek berkaitan hutang peribadi.
Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala, lengan, betis dan calar di seluruh badan.
Menurut beliau, semua suspek ditahan antara 3 pagi semalam hingga 12. 40 tengah malam tadi di beberapa lokasi di bandar raaya itu.
Mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 40 tahun serta merampas tujuh telefon bimbit, sebilah pisau dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.
Raub berkata, tujuh daripada suspek itu mempunyai jenayah lampau termasuk kes dadah.
Saringan air kencing pula mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ketamin.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Katanya, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Manakala enam suspek yang positif dadah turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek lelaki direman selama tujuh hari hingga 3 Januari 2026 dan wanita Vietnam pula tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Raub berkata, polis juga giat mengesan suspek-suspek lain yang terlibat dalam kejadian ini. – MalaysiaGazette















