KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yakin parti itu mampu menampilkan calon untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) sebagai Pengerusi baharu, susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, meskipun calon itu tidak semestinya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun individu berkenaan diyakini boleh mengembleng kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN.
Ujarnya, rombakan juga sudah pasti akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini.
“Satu tindakan yang bijak dan tepat oleh Tan Sri (Muhyiddin) dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang PRU16.
“Tahniah Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Keputusan itu dipercayai ada kaitan dengan kemelut politik di Perlis yang menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin Pas yang turut membayangkan bersedia meninggalkan PN. – MalaysiaGazette
















