KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur atau tunduk dengan sebarang ugutan malah akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang masih terpalit dengan saki-baki budaya rasuah di negara ini.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah telah diambil melibatkan anggota pentadbiran, pejabatnya, rakan parti komponen, pembangkang, pimpinan angkatan tentera dan penjawat awam.
Semua itu bagi memastikan negara diselamatkan, dana awam digunakan dengan wajar dan nasib rakyat jelata dibela.
“Meskipun Kerajaan Madani telah menegaskan bahawa di antara dasar utamanya adalah menekankan isu tata kelola, menghapuskan amalan rasuah dan kebejatan namun masih ada saki-baki yang terperangkap dengan kerangka dan pola budaya lama yang bobrok.
“Kita akan terus bertindak tegas menyelamatkan negara dan dapat menggunakan dana yang sewajibnya dan wajar untuk membela nasib rakyat jelata,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini. – MalaysiaGazette
















