KUALA LUMPUR – Masih banyak sampah dibuang merata-rata akibat tindakan individu yang tidak bertanggung jawab di sekitar kawasan tumpuan ramai khususnya Bukit Bintang selepas sambutan Ambang Tahun Baharu, tengah malam tadi.
Bagaimanapun, pemerhatian MalaysiaGazette mendapati, keadaan malam tadi agak sedikit kemas dan teratur berbanding ketika sambutan malam Krismas di tempat sama, baru-baru ini.

Ini mungkin kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi syarikat Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyediakan sebanyak 25 unit tong sampah bagi kemudahan orang ramai mengunjungi kawasan berkenaan.
Dalam masa yang sama, petugas Alam Flora juga kelihatan pantas membersihkan kawasan berkenaan sejurus sahaja sambutan selesai dan orang ramai mula bersurai.

Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan awam lain yang turut menjadi tumpuan malam tadi iaitu sekitar Menara Kembar Petronas atau Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) juga mendapati, kawasan agak bersih dan tidak banyak sampah dilihat berselerak.
Namun, tidak dinafikan isu sampah kecil di tempat awam ini adalah disebabkan masalah individu yang tidak cakna serta tidak mempunyai kesedaran sivik terhadap penjagaan kebersihan meskipun fasiliti seperti tong sampah sudah disediakan pihak berwajib.
Sehubungan itu, diharap Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula hari ini akan dapat menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Sebagai rekod, Perintah Khidmat Masyarakat merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan antaranya mengutip sisa pepejal, mencuci, memotong rumput dan membersihkan sarang labah-labah.
Ia dilaksanakan untuk mendidik dengan objektif keseluruhan langkah itu untuk menanam kesedaran, tanggungjawab serta rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar dan bukannya menghukum secara berlebihan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini memaklumkan, pesalah yang disabitkan dengan hukuman itu perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.-MalaysiaGazette
















