Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 02 JANUARI 2025.

PETALING JAYA – Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mencontohi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang melakukan pendaftaran secara dalam talian untuk permohonan permit Bazar Ramadan bagi tahun 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PBT perlu memastikan permit Bazar Ramadan tidak melalui ejen yang mengaut keuntungan setiap kali musim perayaan.

“Petaling Jaya ini bagi contoh tentang pelaksanaan dia yang lebih telus. Pendaftaran online, elak daripada jadi angkat melalui ejen.

“Ini masalah kita. Pasar Ramadan ni kesempatan bagi rakyat, terutama di peringkat bawah, untuk menjalankan perniagaan, mencari nafkah tambahan.

“Jadi yang melalui bendaran patutnya memberi kerjasama supaya proses terlebih teratur dan telus. Elak daripada orang yang mengangkat komisen,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jumhurian, Taman Datuk Haron hari ini.

Anwar juga mengakui kerajaan terlepas pandang tentang isu tersebut ketika pentadbirannya sibuk memerangi rasuah dalam kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.

“Jadi kita lawan di peringkat atas dan di bawah ini masih lagi berkecamuk. Jadi saya tengok dari segi kertas yang pernah dibentangkan kepada kami, pengalaman PJ itu boleh dijadikan contoh.

“Pendaftaran online dan buka sebanyak mungkin,” katanya lagi.

Anwar turut memberi jaminan kerajaan akan menyediakan kemudahan Bazar Ramadan kali ini lebih bersih dan terurus.

“Kalau nanti majlis perbandaran bekerjasama, saya akan bercakap dengan Menteri KPKT agar bantu, kemudahan Pasar Ramadan ini diperbaiki dengan air dan kebersihannya terkawal.

“Sebenarnya kita tahu kalau pelaksanaan perbuangan sampah itu telah bermula semalam. Jadi kalau buat buang sampah, tak tentu kita akan ambil tindakan, dakwa dan denda mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast