NIBONG TEBAL – Polis menahan 10 lagi lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian serangan berkumpulan menggunakan parang hingga mengorbankan seorang lelaki di sebuah restoran di Sungai Bakap di sini, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Seberang Perai Selatan dan Taiping, Perak, semalam.
“Sebelum ini kita menahan empat lelaki dalam tempoh 48 jam selepas kejadian dan terbaru kita menahan 10 lagi suspek.
“Ini menjadikan seramai 14 suspek ditahan setakat ini dan kesemua mereka berusia antara 24 hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua 10 suspek terbabit telah memperoleh perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Januari depan.
Tambah Azizee, hasil siasatan awal mendapati semua tangkapan dipercayai ahli kongsi gelap yang aktif di Pulau Pinang.
“Semakan lanjut mendapati seramai 10 daripada suspek didapati mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.
“Selain itu, hasil daripada risikan, pasukan operasi juga menggempur beberapa kawasan yang dipercayai menjadi tempat berkumpul ahli-ahli kumpulan itu bagi mengesan saki baki suspek yang terlibat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Seorang maut, dua cedera diserang sekumpulan lelaki bertopeng dengan parang
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 59 tahun maut selepas disyaki ditetak dalam kejadian pergaduhan di sebuah restoran di Sungai Bakap, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, dua lagi mangsa cedera selepas diserang sekumpulan lelaki dipercayai bersenjatakan parang ketika sedang makan di premis berkenaan.
Polis sebelum ini menahan dua suspek pada malam kejadian sebelum memberkas dua lagi lelaki semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















