NIBONG TEBAL – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran makanan di Sungai Bakap di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 59 tahun maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Manakala dua lagi lelaki yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.
MalaysiaGazette difahamkan kira-kira 15 lelaki bertopeng menyerang tiga lelaki tempatan tersebut yang sedang makan di premis
Difahamkan, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti punca serangan.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan keadaan mangsa yang cedera termasuk seorang daripada mereka dalam keadaan parah, dipercayai akibat serangan menggunakan parang.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut.
“Ya, kejadian berlaku jam 4.30 petang dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















