KUALA LUMPUR – Lirik lagu Masuk Lagi nyanyian penyanyi, Baby Shima yang didakwa mengandungi unsur lucah sehingga mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat dan penggiat seni.
Mengulas isu tersebut, Public Health Malaysia (PHM) turut menyuarakan perhatian terhadap kebimbangan masyarakat mengenai lirik lagu yang berunsur makna berganda itu.
“Sebab jujurnya, bila dengar ikut irama, ramai rasa “tak ada apa”. Tapi bila kita berhenti sekejap, baca lirik satu-satu dan hayati maksud tersirat, barulah kita nampak bagaimana mesej yang dibawa boleh jadi melampau dan mengganggu.
“Dalam rancangan realiti TV, juri dan pengajar selalu ulang benda yang sama: nyanyian itu penceritaan. Peserta diminta faham lirik dulu, faham cerita dulu, baru menyanyi.
“Jadi bila lirik begini wujud, kita pun tertanya, takkan langsung tak ada siapa yang nampak ini sudah terlepas jauh?” soalnya di hantaran Facebook.
Sejak beberapa hari lalu, single Baby Shima tular dalam media sosial gara-gara didakwa mempunyai lirik berunsur lucah sehingga mengundang reaksi kurang senang pendengar.
Malah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut memandang serius penularan lirik lagu berunsur lucah, tidak senonoh serta bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat khususnya yang memberi pengaruh negatif kepada generasi muda.
Menteri berkenaan, Dr Zulkifli Hasan, dilapor berkata, semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada Februari 2015.
Zulkifli merujuk kepada lagu baharu seorang artis wanita tempatan yang dikatakan mempunyai lirik berunsur lucah dan tidak bersesuaian sehingga mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen
PHM berkata, gaya bahasa sebegitu sering digunakan kerana mudah tular dan dianggap cara ‘selamat’ untuk melepasi tapisan kandungan selain berpotensi menormalisasikan perkara tidak sopan dalam kalangan pendengar khususnya golongan muda.
“Kenapa orang guna? Sebab ia mudah jadi viral dan kadang-kadang ia digunakan untuk ‘melepasi’ semakan kandungan. Ini kerana maksud sebenar disorok dalam bait-bait yang nampak selamat pada permukaan.
“Masalahnya, apabila yang tersirat itu berunsur seksual dan menjijikkan, ia bukan lagi kreatif, sebaliknya menjadi cara halus untuk menormalisasikan sesuatu yang tidak patut jadi hiburan.
“Apabila kita mula anggap lirik jelik sebagai ‘normal’, impak paling awal ialah pada moral masyarakat. Apa yang dahulu kita rasa malu, lama-lama jadi lawak. Apa yang dulu kita rasa tidak sopan, lama-lama jadi trend.
“Kita jadi masyarakat yang cepat ketawa pada benda yang sepatutnya buat kita rasa tak selesa. Itu yang menakutkan, sebab hati manusia boleh jadi kebal apabila kerap dipujuk untuk ‘anggap biasa’,” tambah hantaran itu.
PHM berpendapat, penyebaran kandungan lucah, sumbang atau menjelikkan melalui kemudahan rangkaian komunikasi boleh membawa implikasi undang-undang.
Katanya, perbuatan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, PHM menasihatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap kandungan hiburan yang dikongsi serta tidak menularkan bahan yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat.
“Jadi, kita tak boleh pejam mata hanya kerana ia double meaning. Berlapis tidak semestinya selamat. Tersirat tidak bermakna boleh dimaafkan.
“Kalau anda pun rasa ini melampau, tindakan paling berkesan bukan marah sambil kongsi audio asal. Jangan viralkan sumbernya. Guna fungsi report di platform,” katanya. – MalaysiaGazette
















