Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang peguam kanan menyifatkan seseorang sudah menempah sebelah kaki di penjara sekiranya melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan kemalangan maut.

Menurut Muhammad Hasif Hasan, fakta itu bukan hanya menakutkan tertuduh di mahkamah, malah turut menakutkan peguam yang terlibat dalam kes seumpama itu.

Katanya, mungkin ada yang beranggapan tertuduh boleh terlepas sekiranya mampu mengupah peguam yang hebat bagi mengendalikan kes tersebut.

Namun, bagi Muhammad Hasif, berdasarkan pengalamannya, sehebat mana sekali pun peguam yang diupah, adalah sukar untuk menang dalam kes pemanduan ‘merbahaya’ yang melanggar lampu merah.

Peguam Kanan, Muhammad Hasif Hasan.

Apatah lagi, tambahnya, dalam zaman serba canggih hari ini di mana terdapat rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam), peguam dari `langit’ sekali pun tidak mampu mempertikaikan bukti tersebut.

“Rakaman ini tidak akan menipu dan menjadi bukti bebas melainkan ada bukti ia telah diubah suai.

“Dalam keadaan lazim, tidak ada sebab bukti akan diubah suai oleh pihak ketiga yang merakam tanpa ada kepentingan dan hubungan antara tertuduh dan mangsa,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Menurut Muhamad Hasif, orang ramai mungkin beranggapan hukuman dalam kes melanggar lampu merah ketika ini adalah terlalu ringan.

Namun, ujarnya, hukuman itu telah dipinda yang mana Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) menetapkan kesalahan tersebut boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

“Cuma persoalannya, kenapa ada lagi yang memandu secara merbahaya. Kenapa ada lagi yang mengejar lampu isyarat merah?

“Adakah mereka tidak tahu undang-undang atau mereka belum insaf kerana belum terkena lagi atau merasakan kebal undang-undang?” soalnya.

Berdasarkan pengalaman beliau, sekiranya pesalah itu golongan berada dan mempunyai banyak wang sekali pun, ia tidak dapat melepaskan mereka daripada pertuduhan dalam kes sedemikian.

Ujarnya, denda yang dikenakan mungkin boleh dibayar namun hukuman penjara tetap perlu dijalani.

“Jika merasakan tempoh lima tahun penjara dan denda RM20,000 (paling minimum bagi kedua-dua hukuman) adalah remeh dan tidak menakutkan, silakan langgar lampu isyarat merah.

“Jika tidak berlaku kemalangan, bersyukur tetapi jika berlaku kemalangan maut maka boleh berpesan-pesan kepada ahli keluarga terdekat sebelum pergi ‘belayar’ (istilah kami kepada banduan) selama paling kurang lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Hasif turut mengingatkan yang mana kad golongan orang kelainan upaya (OKU) tidak akan membantu sekiranya seseorang terlibat dalam kes kemalangan.

“Melainkan OKU otak, itu pun perlu pengesahan doktor,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin terbunuh selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta yang sedang menuruni bukit yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian di Kuala Terengganu hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. Uishh.. Ada ja yg terlepas especially type yg satu tu, yg suka guna surat doktor, resit ubat dan sijil akuan mental.

  2. Kebanyakan majistret & hakim akan memberi hukuman minimum atas alasan sikap perikemanusiaan & memberi peluang kedua kepada pesalah jalanraya walaupun sudah membunuh nyawa org lain

  3. bnyk dh terlepas terutama bangsa selain melayu. kalau melayu komfem masuk dalam. kes OKU cina pandu kereta lawan arus punca kemalangan maut tu terlepas je. Tingkatkan kekuatan undang2. terutama pemandu mabuk dan pengaruh dadah. bagi hukuman penjara 10tahun atau yg melibatkan kematian buat hukuman gantung mandatory. Sebagai cadangan dari saya untuk dipertimbangkan

Comments are closed.