Kei Oshiro dari Jepun. Foto FB Negeri Sembilan FC.

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC (NSFC) terus memperkuatkan skuad itu bagi sesi perpindahan kedua musim ini yang bermula hari ini apabila mengumumkan kehadiran pemain import kedua iaitu Kei Oshiro dari Jepun.

Oshiro yang memiliki ketinggian 182 sentimeter akan beraksi di bahagian pertahanan skuad Hobin Jang Hobin bagi menghadapi baki saingan Liga Super yang memasuki pusingan kedua musim ini.

“Kei Oshiro sah menyertai Negeri Sembilan FC bagi memperkuatkan skuad menghadapi saingan musim ini.

“Pemain kelahiran Jepun ini memiliki ketinggian 182cm dan merupakan produk akademi Urawa Reds, antara akademi terbaik di Jepun.

“Beliau boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan dijangka menambah ketenangan, disiplin serta organisasi di barisan pertahanan pasukan,” tulis kelab itu di media sosial miliknya di sini hari ini.

Sepanjang kariernya, Oshiro pernah beraksi bersama beberapa kelab di Jepun termasuk Urawa Reds, Yokohama SCC dan Ehime FC sebelum menyertai Gainare Tottori iaitu kelab yang sama turut diwakili oleh pemain Negeri Sembilan FC, Mio Tsuneyasu.

Oshiro dijangka akan bergandingan bersama Henrique Nsue di posisi pertahanan dan berpotensi melakukan penampilan sulung menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama pusingan kedua Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast