KUALA LUMPUR – Gesaan membawa UMNO keluar daripada Kerajaan Madani seterusnya bekerjasama dengan Pas disifatkan sebagai penyelesaian politik paling tepat.
Pemerhati politik, Shahbudin Husin berkata, dua parti Melayu terbesar itu sekiranya bersatu mampu mewujudkan perpaduan rakyat yang tidak mampu dicetuskan oleh mana-mana parti lain jika bekerjasama.
Menurutnya, bermula dengan dua parti itu bekerjasama, perpaduan yang berlaku akhirnya akan menjadi benar-benar mantap dan kukuh serta diyakini mampu memastikan masa depan negara lebih baik.
“Buat sementara, setelah keluar kerajaan nanti, biarlah UMNO menjadi pembangkang terlebih dahulu sebelum gandingan dengan Pas itu harus disusun dan digerakkan dengan teratur untuk menggerakkan suatu kebangkitan yang benar-benar padu.

“Kebangkitan itu nanti tentunya mampu mencetuskan tsunami Melayu menjelang PRU-16 akan datang.
“Tsunami itulah nanti yang akan membawa perubahan dan melahirkan perpaduan rakyat yang sebenar,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Menurut Shahbudin, setelah wujud kerjasama UMNO dan Pas, parti-parti Melayu lain juga seharusnya turut serta bagi membina kekuatan yang lebih menyeluruh.
Ujarnya, memandangkan orang Melayu adalah penduduk majoriti, kedudukan mereka menerajui banyak kuasa di negara ini juga dengan mudah dapat diterima oleh kaum-kaum lain.
“Bahkan kaum bukan Melayu pun sebenarnya lebih selesa hidup di negara ini jika orang Melayu bersatu dan memiliki kekuasaan yang sebenar sebagaimana yang pernah wujud sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, Shahbudin menggesa pemimpin-pemimpin UMNO supaya meyahut seruan akar umbi seperti disuarakan menerusi Konvensyen Pemuda UMNO kelmarin, supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Madani dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Malah, ujarnya, Perhimpunan Agung UMNO minggu depan dilihat menjadi medan terbaik untuk perkara itu dimuktamadkan.
“Kalau gesaan itu ditolak, percayalah bahawa UMNO akan lebih ditolak pada PRU akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, pemimpin-pemimpin Pas juga perlu sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan negara.
“Tiada cara lain untuk mewujudkan kestabilan dalam negara ini melainkan dengan orang-orang Melayu disatukan, benar-benar berkuasa dan menjadi penentu ke arah mana negara ini hendak dibawa,” katanya. – MalaysiaGazette
















