Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad. - Foto AIZAT ZAINAL, 05 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan cara menentang notis pengosongan Kampung Sungai Baru, September tahun lalu.

Zaharudin, 49, yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan kes.

Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad hadir ke mahkamah atas pendakwaan kes menghalang notis pengosongan Kampung Sungai Baru di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 05 JANUARI 2026.

Mengikut pertuduhan, Zaharudin bersama tujuh lagi individu, didakwa menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang, iaitu menentang proses notis pengosongan dengan mengetahui bahawa perhimpunan tersebut telah diarahkan untuk bersurai mengikut kaedah undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara pukul 10.50 pagi dan 11.14 pagi pada 11 September 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Sekayen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin bersama-sama Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun peguam Latheefa Koya yang mewakili Zaharudin memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.

“Anak guam saya pencari nafkah tunggal keluarga dan menanggung isteri yang tidak berkerja serta anak.

“Anak guam saya turut mempunyai jawatan dalam parti politik dan mempunyai reputasi dalam aktiviti kemasyarakatan,” kata peguam itu.

Latheefa turut memaklumkan, tertuduh telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu bagi mendapat pengisytiharan bahawa Sesyen 145 yang dipertuduhkan terhadapnya, bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 15 September lalu, media melaporkan Zaharudin ditahan polis berhubung insiden kekecohan ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan penahanan tersebut  dibuat sekitar pukul 1.30 pagi.

Insiden kekecohan itu turut menyebabkan Sulizmie Affendy mengalami kecederaan di kepala akibat dibaling objek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast