Naib Canselor UM, Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman bersama bayi yang menjalani pembedahan pemindahan hati pada 25 November lau dan ibu bapanya.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya menambah dan memperluas bilangan dewan bedah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM/UMMC), susulan kejayaan bersejarah pembedahan pemindahan hati yang menyelamatkan nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, universiti itu akan menambah bilangan dewan bedah di PPUM, di samping memperkukuh infrastruktur, kemudahan rawatan kritikal dan sistem sokongan bagi pasukan kepakaran perubatan.

Menurut beliau, komitmen ini akan memastikan kepakaran doktor, pakar bedah, jururawat dan anggota kesihatan UM terus diperkasa dengan kemudahan dan sokongan terbaik untuk terus berkhidmat kepada rakyat, menyelamatkan nyawa serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Sementara itu, Pengarah PPUM, Profesor Dr. Mohd Zulkiflee Abu Bakar berkata, bayi tersebut merupakan penerima pemindahan hati termuda dan seberat 6.2 kilogram, sekali gus menjadi rekod dalam sejarah perubatan Malaysia.

“Bayi tersebut mengalami kegagalan hati akut dan rebah beberapa minit sebelum pembedahan dijalankan, memerlukan usaha rawatan rapi serta bantuan resusitasi selama lebih sejam di Unit Rawatan Rapi Pediatrik.

“Selepas pasukan perubatan berjaya menstabilkannya, keputusan klinikal yang berani dan kritikal dibuat untuk meneruskan pembedahan, langkah yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawanya,” katanya yang semasa majlis penghargaan khas yang dihoskan oleh Naib Canselor bagi meraikan pasukan pelbagai disiplin PPUM yang terlibat dalam pembedahan berisiko tinggi dan amat kompleks pada 25 November lalu.

Dr. Noor Azuan bersama barisan pakar dan jururawat yang terlibat dengan pembedahan pemindahan hati seorang bayi di PPUM pada 25 November lalu.

Dr. Noor Azuan berkata, beliau telah menziarahi bayi berkenaan dan bertemu ibu bapanya, serta menyatakan rasa amat bangga dan terharu terhadap komitmen, kecekapan, ketabahan dan semangat juang seluruh pasukan perubatan dan pembedahan PPUM.

“Kejayaan luar biasa ini membuktikan kepakaran bertaraf dunia, ketelitian klinikal pada saat getir serta kekuatan kerjasama berpasukan yang didukung oleh nilai kemanusiaan dan tanggungjawab profesional,” tambah beliau.

Dr. Noor Azuan turut menegaskan kejayaan ini bukan sahaja kejayaan klinikal, malah membuktikan bagaimana komitmen UM terhadap penyelidikan bertaraf dunia telah diterjemahkan kepada impak sebenar kepada pesakit.

Pendekatan klinikal dan kerangka rawatan yang digunakan dalam kes ini berasaskan dapatan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Pediatric Surgery International.

“Hasil penyelidikan UM ini telah dirujuk serta diguna pakai di peringkat global dan kini terbukti berjaya menyelamatkan nyawa melalui pelaksanaan klinikal di PPUM. Ini mencerminkan semangat UM, di mana penyelidikan berkualiti tinggi, inovasi dan piawaian global tertinggi diperkukuh dalam amalan rawatan klinikal bagi manfaat Malaysia dan dunia.

Naib Canselor UM itu turut menzahirkan rasa bangga yang mendalam terhadap seluruh pasukan PPUM, sambil menegaskan kejayaan ini merupakan mercu tanda besar dalam sejarah perubatan negara serta lambang keberanian, kepimpinan, profesionalisme dan kemanusiaan.

Bayi tersebut kini berada dalam pemantauan rapi pakar, menandakan satu detik penting dalam sejarah pemindahan hati pediatrik Malaysia dan memperkukuh misi Universiti Malaya dan PPUM untuk terus melindungi, merawat dan menyelamatkan nyawa.

Bapa kepada bayi tersebut, Tan Hock Siong mengucapkan terima kasih kepada kesemua staf PPUM yang terlibat kerana membantu bayi beliau dan beliau sangat berharap bayi beliau terus sihat.

Majlis tersebut turut memberi pengiktirafan khas kepada barisan kepimpinan pasukan pemindahan hati yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Koh Peng Soon, Pengerusi Pasukan Pemindahan Hati & Pakar Perunding Kanan Pembedahan Hepatobilier; Prof. Shireen Anne Nah Han Yien, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Pediatrik; Dr. Chew Kee Seang, Pakar Perunding Pediatrik Gastroenterologi; Dr. Chuah Soo Lin, Pakar Perunding Pediatrik (Rawatan Rapi Pediatrik); Prof. Ina Ismiarti binti Shariffuddin, Pakar Perunding Kanan Bius; Prof. Alizan bin Abdul Khalil, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Plastik; serta Prof. Anushya a/p Vijayananthan, Pakar Perunding Kanan Radiologi.

Mereka ini mewakili teras kepimpinan daripada lebih 45 anggota pasukan pelbagai disiplin yang turut melibatkan bidang hepatobilier, pembedahan pediatrik, pembedahan plastik, anestesiologi, ICU dewasa, ICU pediatrik, pediatrik gastroenterologi & hepatologi, kejururawatan, radiologi serta unit Bank Darah dan Patologi.

Majlis turut menzahirkan penghormatan penuh takziah kepada mendiang Professor Madya Adjung Dr. Yoong Boon Koon, perintis perkhidmatan pemindahan hati di PPUM serta Pengasas dan Ketua Pasukan Pemindahan Hati pada tahun 2017.

Setelah sekian lama berjuang membangunkan keupayaan perkhidmatan dan latihan, beliau terus kembali ke PPUM secara pro bono bagi menyokong pembedahan pemindahan hati walaupun telah berada dalam sektor swasta sehingga pemergiannya pada usia 54 tahun.

Dr. Noor Azuan menyifatkan legasi Dr. Yoong hidup dalam setiap nyawa yang diselamatkan, setiap kejayaan pembedahan dan setiap warga klinikal yang terus diilhamkannya, sambil menyampaikan doa serta penghargaan kepada isteri dan tiga orang anak beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast