BATU PAHAT – Seorang daripada dua nelayan yang hilang terjatuh laut di sini sejak Sabtu lalu, ditemukan mayatnya pada pagi tadi selepas operasi mencari masuk hari keempat hari ini.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, mangsa, Mohd. Saiful Azli Ahmad yang berusia 45 tahun ditemukan orang awam pukul 9 pagi.
“Operasi yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Center (MRSC) ini menemukan mayat mangsa dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok di kawasan Sungai Burung Perpat.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Mohd. Saiful Azli dan Mohd. Fadzli Misran, 41, hilang selepas mereka keluar rumah untuk memeriksa bubu udang serta memancing kira-kira 800 meter dari jeti Sungai Tongkang.
Kehilangan kedua-dua lelaki itu disedari penduduk apabila bot mereka naiki ditemukan bersama joran dan bubu.
Mohammad Zaini berkata, usaha mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan dengan memberi tumpuan kepada sektor yang telah dikenal pasti berdasarkan analisis arus dan keadaan semasa perairan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau penemuan mangsa diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat talian 07-434 4020 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette
















