Kegiatan di tujuh premis itu mengakibatkan kerugian melebihi RM15.5 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) - Foto Ihsan Polis

KUALA LUMPUR – Polis membongkar kegiatan perlombongan mata wang kripto Bitcoin yang menggunakan sambungan bekalan elektrik haram di sekitar Kangar dan Kuala Perlis.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata kegiatan di tujuh premis itu mengakibatkan kerugian melebihi RM15.5 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebelum pihaknya menahan seorang lelaki dalam operasi bersepadu Op Elektrik/Cantas pada 31 Disember lalu.

Menurut beliau, operasi tersebut dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar bersama Task Force IPD Kangar dan Cawangan D4 IPK Perlis, dengan bantuan juruteknik TNB Perlis dan Pulau Pinang serta Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba Kangar.

“Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran dengan menggunakan bekalan elektrik yang dicuri daripada pemasangan sedia ada di kawasan terlibat.

“Anggota bomba terpaksa memotong kunci mangga premis sebelum pemeriksaan fizikal dilakukan oleh polis dan juruteknik TNB, yang mengesahkan berlakunya penyambungan elektrik secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Dalam serbuan di sebuah premis di Taman Sri Hartamas, Kangar, polis menahan seorang lelaki warga China dan merampas 33 set mesin perlombongan Bitcoin serta pelbagai peralatan sokongan termasuk komputer riba, telefon bimbit, modem, router WiFi dan peralatan rangkaian.

Selain itu, enam lagi premis di Kuala Perlis dan Kangar turut diserbu, dengan rampasan keseluruhan melibatkan 259 set mesin perlombongan Bitcoin, 59 unit ‘blower’, lima komputer riba, lima modem, 10 peranti WiFi serta pelbagai peralatan elektronik lain.

Tambah beliau, semua premis terbabit dipercayai beroperasi antara tiga bulan hingga setahun, dengan jumlah kerugian hasil dan caj berkaitan yang ditanggung TNB dianggarkan sebanyak RM15,553,965.80.

Suspek direman selama dua hari bermula 1 hingga 2 Januari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kecurian elektrik atau mengesyaki premis menjalankan penyambungan bekalan elektrik tidak sah supaya menyalurkan maklumat kepada IPK Perlis di talian 04-987 2222 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast