Sukarelawan dan pasukan Yayasan Nurjiwa turun padang sekali lagi untuk menyantuni mereka yang diuji banjir di Aceh Tamiang.

KUALA LUMPUR – Yayasan Nurjiwa kini aktif meneruskan misi bantuan kecemasan ke Aceh Tamiang, Indonesia susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang melanda wilayah itu baru-baru ini.

Misi kemanusiaan itu sebagai tanda solidariti terhadap saudara serumpun yang terjejas dengan menyalurkan bantuan asas serta sokongan moral hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Yayasan Nurjiwa menerusi Instagram rasmi berkata, pihaknya mementingkan nilai kemanusiaan menjadi teras utama setiap gerak kerja yang dilaksanakan, tanpa mengira jarak dan sempadan negara.

“Dalam setiap ujian, kemanusiaan menyatukan kita. Yayasan Nurjiwa menyantuni saudara serumpun di Aceh, menyalurkan amanah dan kasih sayang daripada rakyat Malaysia kepada mereka yang diuji.

“Jarak memisahkan, kemanusiaan menyatukan. Setiap sumbangan anda adalah doa yang bergerak dan sampai ke hati mereka yang berhadapan musibah.

“Yayasan Nurjiwa adalah perantara yang membawa secebis harapan dengan sarat kasih sayang, dalam dakap penuh tulus dan rasa kecintaan sesama manusia tanpa batas apa pun,” kata yayasan yang diasaskan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menerusi misi tersebut, Yayasan Nurjiwa turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran penyaluran bantuan kepada mangsa.

Aceh Tamiang terletak di hujung paling timur wilayah Aceh, kira-kira 130 kilometer  atau hampir tiga jam perjalanan dari Medan tidak ubah seperti ‘bandar lumpur’ selepas dilanda banjir besar itu.

Hampir seluruh perumahan musnah di Aceh Tamiang.

“Terima kasih kepada semua yang telah mempermudah perjalanan kami ke Aceh, pihak konsulat jeneral Malaysia di Medan yang memberi panduan nasihat dan memastikan kelancaran, pasukan Yayasan Nurjiwa dan sukarelawan kami yang telah berbesar hati menjayakan misi ke Aceh serta para penyumbang dan dermawan budiman yang sentiasa bersama-sama kami.

“Setiap bantuan anda membawa harapan, kekuatan dan sinar buat mereka yang memerlukan. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast