KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan Notis Kacau Ganggu di bawah Seksyen 82 kepada pemilik rumah teres berhampiran Persiaran Segambut Dalam di sini kerana mengumpul barangan lusuh.
Menerusi kenyataan DBKL, notis berkenaan dikeluarkan selepas membuat pemeriksaan di premis berkenaan selepas mendapat aduan awam.
Ujarnya, pemilik premis diarahkan melaksanakan kerja pembersihan dalam tempoh tiga hari bekerja selepas notis dikeluarkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat longgokan barangan lusuh di dalam kawasan premis berkenaan namun keadaan di bahagian luar masih terkawal, bersih dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada persekitaran awam pada masa ini,” katanya.
DBKL menegaskan, setiap pemilik premis bertanggungjawab memastikan kawasan masing-masing sentiasa berada dalam keadaan bersih, teratur dan tidak mengganggu penduduk sekitar.
Jelasnya, dalam masa sama, ia demi mengekalkan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang bersih, selamat dan sihat.-MalaysiaGazette
















