KUALA LUMPUR – PMB Investment Berhad (PMB Investment), anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, melancarkan PMB Shariah Stable Value Income Fund, sebuah dana borong pendapatan tetap patuh Syariah yang ditawarkan secara eksklusif kepada pelabur sofistikated.
Dana ini direka khas untuk mengekalkan nilai aset bersih (NAB) seunit yang stabil, menjana aliran pendapatan yang konsisten, serta menyediakan kecairan yang optimum sambil memelihara modal pelaburan.
Dana ini melabur terutamanya dalam instrumen pasaran wang patuh syariah, sukuk jangka pendek, dan deposit Islam, dengan mengamalkan pendekatan pelaburan konservatif yang menumpukan kepada pemuliharaan modal dan penjanaan pendapatan yang stabil.
Ia diposisikan sebagai penyelesaian pendapatan Syariah berisiko rendah yang sesuai untuk pengurusan tunai korporat dan peruntukan aset defensif.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, dana ini memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan pelaburan patuh syariah yang mengutamakan kestabilan dan pulangan yang boleh diramal.
Dana ini amat sesuai untuk pelabur sofistikated, termasuk institusi kewangan, entiti korporat, yayasan, dan
individu beraset tinggi, yang mencari cara yang cekap untuk mengurus kecairan sambil terus melabur.
“Dana ini menekankan ciri kecairan yang kukuh, membolehkan pelabur menguruskan keperluan dana jangka pendek dengan cekap tanpa menjejaskan prinsip syariah.
“Pendekatan ini disokong oleh amalan pengurusan risiko yang berdisiplin serta pematuhan terhadap piawaian tadbir urus korporat yang teguh.
Pelancaran dana ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk mengembangkan portfolio penawaran produk Syariah yang defensif dan berfokuskan pendapatan, melengkapkan rangkaian sedia ada dana unit amanah, dana borong dan penyelesaian mandat persendirian yang ditawarkan oleh PMB Investment.
PMB Shariah Stable Value Income Fund kini terbuka untuk langganan, tertakluk kepada keperluan kelayakan pelabur. – MalaysiaGazette
















