KUALA LUMPUR – Dua manuskrip Melayu karya agung Hamzah Fansuri, tokoh sufi dan sasterawan Nusantara abad ke-16, diiktiraf sebagai Dokumen Warisan Dunia oleh UNESCO melalui Program Memory of the World (MoW)
pada 17 April 2025.
Dua manuskrip koleksi PNM tersebut ialah Asrār al-‘Ārifīn (MSS 1424 (B) dan Syarāb al-‘Āsyiqīn (MSS 2538).
Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia berkata, oengiktirafan ini merupakan hasil
kerjasama pencalonan bersama PNM dan Perpustakaan Nasional Indonesia (PERPUSNAS) melalui manuskrip Syair Hamzah Fansuri (ML 83) dan Syair Anak Dagang (NB 2165) dan telah mengukuhkan kedudukan manuskrip Melayu sebagai sebahagian penting daripada khazanah dokumentari global.
Dengan pengiktirafan terbaharu ini, PNM menambah satu lagi kejayaan selepas Hikayat Hang Tuah (2001), Koleksi Cerita Panji (2017) dan Misa Melayu (2023).
Rekod cemerlang ini menempatkan Malaysia antara negara paling aktif di Asia Tenggara dalam usaha pemuliharaan warisan dokumentari menurut piawaian antarabangsa.
Hamzah Fansuri merupakan tokoh perintis dalam penulisan tasawuf Melayu dan individu yang mempelopori penggunaan bentuk syair dengan skema rima a-a-a-a.
Beliau juga antara penulis Melayu terawal yang menampilkan namanya dalam karya, suatu kelainan penting dalam tradisi kesusasteraan klasik yang biasanya tidak menzahirkan identiti pengarang.
Hamzah Fansuri meninggalkan legasi yang sangat besar dalam kesusasteraan dan pemikiran Islam di Nusantara.
Karya-karyanya bukan sahaja menjadi sumber rujukan utama dalam kajian sufisme Melayu, tetapi juga menjadi model penulisan dalam bahasa Melayu klasik yang mempengaruhi generasi penulis dan ulama selepasnya.
Pemikiran beliau terus dikaji dan diapresiasi oleh para sarjana dan intelektual hingga ke hari ini, menunjukkan betapa relevannya ajaran dan karya Hamzah dalam konteks sejarah dan budaya Melayu.
Legasi Hamzah Fansuri kekal sebagai sumber inspirasi, bukan sahaja dalam bidang kesusasteraan dan pemikiran Islam, tetapi juga dalam usaha melestarikan warisan budaya Melayu demi generasi masa depan.
Menurutnya, manuskrip karya Hamzah Fansuri kini ditemui di pelbagai perpustakaan dan institusi di Malaysia, Indonesia, Belanda serta sejumlah pusat akademik lain, baik di dalam mahupun di luar negara.
Antara karya beliau yang paling dikenali ialah:
Syair Perahu
Syair si Burung Pungguk
Syair si Burung Pingai (burung pipit)
Syair Dagang
Asrār al-Ārifīn
Syarāb al-’Āsyiqīn – MalaysiaGazette
















