BAYAN LEPAS – “Tolong pulang Firdaus, emak kini kritikal di hospital dan mungkin ini hajat terakhir dia untuk bertemu anaknya”.
Itu luahan ahli keluarganya yang merayu bantuan orang ramai untuk mengesan adik mereka, Firdaus Md Yusuff, 49, kerana sudah terputus hubungan dengan keluarga hampir 11 tahun lalu.
Abangnya, Shahril Azhar Md Yusuff, 52, berkata, ibunya, Shaarom Bee Babjan, 80, yang uzur dan kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah dan beberapa kali menyatakan hasrat untuk bertemu Firdaus.
“Kami enam beradik, tiga sudah meninggal dunia dan saya merupakan anak keempat manakala Firdaus anak kelima. Emak asyik sebut nama Firdaus kepada kakak. Itu yang buat kami benar-benar berharap dia dapat pulang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Shahril Azhar, hubungan keluarga terputus sejak 2014 selepas kematian bapa mereka dan Firdaus telah mendirikan rumah tangga pada tahun sama, susulan salah faham keluarga.
Katanya, usaha mengesan Firdaus termasuk melalui semua platform media sosial juga tidak membuahkan hasil dan mereka percaya Firdaus masih berada di Pulau Pinang memandangkan dia berumah tangga dengan wanita yang berasal dari negeri ini.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan Firdaus pada 2014 dan selepas itu kami hilang jejak. Malah, sepupu pernah nampak dia di kawasan Sungai Rusa, Balik Pulau tapi lepas itu kami tak jumpa atau peroleh apa-apa perkembangan mengenainya.
“Kami tahu mungkin dia masih berkecil hati dengan apa yang berlaku dulu, tapi kami harap dia lupakan semua itu dan pulang ziarah emak.
“Saya dan kakak tidak menuntut apa-apa selain kehadiran Firdaus untuk memenuhi hajat emak yang sedang bertarung antara hidup dan mati,” katanya.
Justeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Firdaus diminta menghubungi Shahril Azhar di talian 019 567 9038 bagi membantu menyatukan semula keluarga itu. – MalaysiaGazette
















