KUALA LUMPUR – Di sebalik kemeriahan muzik, seni dan aktiviti keluarga, Makar Fest XL tampil membawa misi lebih besar kali ini apabila dijadikan sebagai platform untuk membentuk komuniti dan menghargai seni serta budaya.
Tidak jauh bezanya dengan penganjuran terdahulu, ia hadir sebagai evolusi festival yang bukan sahaja diperbesarkan dari segi skala malah diperkukuhkan dari sudut tujuan dan impak terhadap komuniti khususnya usahawan kecil, peniaga tempatan serta penggiat seni.
Menurut Pengarah Festival Makar Fest mewakili penganjur utama, Issey Fazlisham berkata, Makar Fest XL diwujudkan sebagai titik temu seni, keluarga dan komuniti untuk berniaga, berkongsi idea dan membina jenama mereka sendiri.
Sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 29 Januari ini, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk pengunjung dari semua peringkat umur terutamanya buat pelancong luar untuk menikmati keunikan dan keceriaan Kelantan sambil merasai pengalaman festival yang meriah.
“Seiring dengan itu, Makar Fest XL tidak sekadar menumpukan kepada jualan harian, sebaliknya membantu peniaga dan penggiat seni membina nama produk mereka untuk terus dikenali agar lebih berjaya masa depan.
“Bagi kami, apabila komuniti ini diberi ruang yang betul, mereka akan lebih yakin untuk membina branding mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran, Makar Fest XL turut menampilkan barisan artis dan penggiat seni tempatan yang bakal menghiburkan pengunjung sepanjang festival berlangsung.
Antara artis yang bakal memeriahkan festival yang ditunggu-tunggu ini ialah Kugiran Masdo, Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang dan Wargaswara.
Kehadiran mereka bukan sahaja menghidupkan suasana festival, malah membuka ruang kepada penggiat seni tempatan untuk berkarya dan menjana pendapatan dalam ekosistem hiburan yang sihat.
Issey berkata, selain itu, dalam usaha memastikan festival berskala besar itu kekal selamat dan sesuai untuk semua, penganjur turut menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan serta pengisian positif dengan pelbagai aktiviti yang mesra keluarga dan terkawal.
“Menyentuh tentang pengisian positif, Makar Fest XL turut mengetengahkan elemen pendidikan santai menerusi sesi dialog anak muda, perkongsian pengalaman hidup dan perbincangan realiti kehidupan yang disampaikan secara tak formal agar mudah didekati.
“Walaupun berkembang sebagai festival besar dan menjadi rujukan penganjur acara lain, Makar Fest XL masih mengekalkan identiti tempatan sebagai tunjang menerusi penglibatan vendor dan penggiat seni.
Sementara itu, kejayaan penganjuran Makar Fest XL yang memberangsangkan turut menarik sokongan syarikat besar apabila CelcomDigi tampil berbesar hati menyokong festival berkenaan dan di sokong bersama Madoo Bee dan produk tempatan lain. – MalaysiaGazette
















