KUALA LUMPUR – Pegawai Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menikmati satu hari sahaja Hari Kelepasan Am gantian iaitu pada Isnin, 2 Februari 2026, susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam yang jatuh pada Ahad, 1 Februari 2026.
Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, penetapan ini adalah selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan sekiranya mana-mana Hari Kelepasan Am jatuh pada Hari Kelepasan Mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi Hari Kelepasan Am.
Berdasarkan peruntukan tersebut, bagi Pegawai Perkhidmatan Awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, pegawai hanya akan menikmati tundaan Hari Kelepasan Am pada hari berikutnya iaitu 2 Februari 2026 (Isnin).
Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan Hari Kelepasan Am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari 2026 (Ahad) juga adalah pada 2 Februari 2026 (Isnin).
Sehubungan itu, penetapan cuti gantian akibat pertindihan Hari Kelepasan Am seperti yang dinyatakan dalam siaran media “Cuti Umum Sempena Perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah Bagi Pekerja Swasta Pada 1 Februari 2026” yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia pada Disember 2025 adalah tidak terpakai kepada Pegawai Perkhidmatan Awam. – MalaysiaGazette
















