PUCHONG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara sebagai sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet.
Beliau berkata, majlis itu bertanggungjawab menyelaras pengurusan bencana serta pengurangan risiko bencana.
“Ia membolehkan penglibatan langsung kepimpinan politik tertinggi Persekutuan dan Negeri, sekali gus memastikan keputusan strategik berkaitan bencana dibuat secara lebih bersepadu, tuntas dan berwibawa.
“Dalam masa sama, mekanisme tadbir urus tertinggi pengurusan bencana negara adalah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP),” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, majlis berkenaan tidak melibatkan penyertaan langsung peranan menteri besar dan ketua menteri sedangkan Kerajaan Negeri yang memegang kuasa penting dalam aspek pembangunan, guna tanah serta pengurusan air.
“Faktor-faktor kritikal ini amat mempengaruhi tahap risiko dan impak bencana,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid menzahirkan keyakinan penuh kepada Pasukan SMART untuk mendapat pengiktirafan semula IER sebagai pasukan Heavy Urban Search and Rescue (USAR) pada September tahun ini.
“Kredibiliti pasukan SMART harus mendapat pujian selaku pasukan mencari dan menyelamat bandar elit Malaysia dalam pelbagai operasi bencana di dalam dan luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bersetuju supaya NADMA membangunkan kepakaran serta mewujudkan laluan kerjaya khusus bagi Subject Matter Expert (SME) dalam pengurusan bencana secara dalaman bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kepakaran ini amat penting bagi memastikan pengukuhan dasar dan keupayaan teknikal dalam menguruskan bencana di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Katanya lagi, kejayaan pelaksanaan Bantuan Wang Ihsan (BWI) melalui kaedah electronic fund transfer (EFT) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) bukan sahaja mengurangkan kerenah birokrasi, malah memudahkan rakyat menerima bantuan dengan lebih cepat dan selamat.
“Berdasarkan prestasi semasa, bantuan yang lebih cepat diterima rakyat iaitu di antara satu hingga tiga minggu dari tarikh pusat pemindahan ditutup berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.
“Perubahan ini mungkin kelihatan teknikal di atas kertas, namun kesannya amat manusiawi. Setiap hari menunggu adalah beban kepada rakyat yang kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan dan ketenangan hidup.
“Apabila bantuan dipercepatkan, yang dipulihkan bukan sekadar aliran kewangan, tetapi maruah, keyakinan dan harapan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















